My Add

Monday 26 December 2011

Orkestra RTM ke pedalaman Sabah, Sarawak

DR. Rais Yatim memetik gitar tanda gimik pelancaran buku Gemilang 50 Tahun di Auditorium Perdana, Angkasapuri, semalam, malam kelmarin diperhatikan oleh Masnah Rais, Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail (kiri), Dr. Rothiah Omar (dua kanan) dan Norhayati Ismail.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Disember, 2011: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bercadang membawa Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke kawasan kampung termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Orkestra RTM merupakan penyumbang kepada bidang penyiaran negara sebelum kemunculan orkestra lain.

Menurut beliau, Orkestra RTM juga akan dikembangkan ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam mengolah program-program yang boleh meningkatkan rasa cintakan seni menerusi muzik.

''Sumbangan orkestra tersebut dalam bidang penyiaran negara telah terbukti sejak 50 tahun dahulu.

''Orkestra ini juga telah menyerikan segala macam jenis muzik dan nyanyian kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran buku Gemilang 50 Tahun dan Konsert Budi Setahun Segunung Intan di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini, malam semalam.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Masnah Rais, Ketua Setiausaha (Penerangan) kementerian, Datuk Dr. Rothiah Omar dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhayati Ismail.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian juga berhasrat mengadakan konsert bagi memperingati sumbangan Tan Sri P. Ramlee yang akan melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum.

Sehubungan itu, Rais menjelaskan, beliau sedang berbincang dengan pihak tertentu bagi melaksanakan program berbentuk konsert serta pertandingan dan ia akan menjadi pencapaian kementerian yang utama pada tahun hadapan.

''Kita harap, program itu akan lebih hebat lagi seperti konsert malam ini dan kita akan melaksanakannya sebaik mungkin,'' katanya. - UM


No comments:

Post a Comment