My Add

Tuesday 20 December 2011

Pas berjuang kerana Allah

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Disember, 2011: Dewan Pemuda Pas Pusat mengingatkan kepada semua pemimpin serta ahli bahawa perjuangan parti itu adalah kerana Allah.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, matlamat penubuhan Pas adalah untuk mendaulatkan Islam dan mendidik ummah supaya bersatu pada tali Allah dan ingatan itu terkandung di dalam wahyu-Nya.

Justeru, beliau berkata, adalah amat diharapkan supaya polemik yang melibatkan beberapa pemimpin Pas ketika ini dihentikan segera dengan semua pihak ikhlas bekerjasama ke arahnya.

‘‘Untuk itu, pihak Pemuda meminta supaya satu majlis mahabbah diadakan bagi menghentikan ‘krisis’ tersebut dengan mempertemukan pemimpin-pemimpin terbabit.

‘‘Mereka ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali,’’ katanya.

Beliau berkata demikian di dalam blognya di http:// www.eperjuangan. com/ semalam.

Nasrudin berkata, sewajarnya ‘perang mulut’ dan ‘perang media’ di kalangan pemimpin parti itu dihentikan segera kerana ia langsung tidak memberi manfaat kepada parti.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa perkembangan yang berlaku itu hanya mengundang persepsi negatif terhadap Pas di saat parti itu menuju kejayaan selain membuatkan ahli-ahli menjadi resah.

‘‘Sesungguhnya tiada perkara yang tidak boleh diselesaikan. Sebaliknya apa yang penting, kesemua pihak mestilah ikhlas, berlapang dada, sedia berbincang, bersemuka dan berterus- terang.

‘‘Realitinya, ini bukanlah masanya lagi untuk kepimpinan parti saling bertelagah antara satu sama lain,’’ katanya.

Nasrudin berkata, langkah itu juga bertujuan untuk menjaga mood ahli parti yang gigih bekerja dan berjuang untuk mencari kemenangan.

Sedangkan, beliau berkata, pertelagahan seumpama itu hanya akan mendedah dan membongkarkan kelemahan serta kekurangan parti.

‘‘Ini tidak baik untuk ahli-ahli yang berjuang di bawah, di samping boleh menghakis keyakinan rakyat kepada Pas serta boleh merosakkan reputasi parti di hadapan khalayak.

‘‘Selesaikanlah dengan baik dan berbincanglah dengan penuh hikmah dan sabar. Dalam perkara ini, tiada siapa yang perlu menang sebagaimana tiada siapa pula yang perlu kalah. Tautkanlah kembali al-ukhuwwah Fillah.,’’ katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau percaya semua pemimpin serta ahli cintakan Islam dan sayangkan parti.

‘‘Kami turut percaya bahawa polemik ini boleh diselesaikan dengan baik dan harmoni tanpa perlu siapa pun rasa rendah diri lalu meminggirkan dirinya daripada parti. Begitu juga tanpa perlu siapa pun rasa tersinggung lalu keluar meninggalkan Pas.

‘‘Kami turut percaya bahawa tiada siapa yang perlu merasa dirinya hebat dan jaguh lalu menghalau dan mengherdik pihak lain. Kita semua adalah insan yang diamanahkan oleh Allah untuk memperjuangkan agamanya. Bersatulah! Semoga kemenangan berpihak kepada kita,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment