My Add

Tuesday 6 December 2011

Perhimpunan 'balas' tanda pembangkang takut

BATU PAHAT, SELASA, 06 Disember, 2011: 
PERHIMPUNAN 'balas' pihak pembangkang di Shah Alam, semalam bagi menjawab isu yang ditimbulkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 menunjukkan golongan itu semakin gentar dengan strategi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perhimpunan di Shah Alam itu turut membuktikan pembangkang mengakui kekuatan UMNO dan BN yang mendapat suntikan semangat baru bagi memastikan kemenangan dalam PRU13.

"Pembangkang bagi saya sudah mula bimbang selepas mesej Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya perwakilan serta ahli parti bersatu, menguatkan barisan seterusnya menghentikan persengketaan bagi memastikan kemenangan pada PRU13 mula menyerap di jiwa kami.

"Kebimbangan dan kerisauan pembangkang itu jelas dan amat difahami sehingga mereka terpaksa pula mengadakan perhimpunan tergempar semata-mata bagi menjawab segala isu yang dibawa ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini," katanya selepas majlis penyerahan peruntukan Ahli Parlimen Batu Pahat dan Menteri Besar Johor bernilai RM500,000 bagi membina bangunan baru Sekolah Tinggi Chong Hwa Rengit di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Parti Gerakan Negeri Johor, Datuk Teo Kok Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil dan Pengetua Sekolah Tinggi Chong Hwa Rengit, Gan Kong Bee.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, ahli akar umbi UMNO perlu memahami sekali gus mempraktikkan saranan Presiden parti berhubung 'game changer' dan tampil sebagai pembela masyarakat tanpa mengira warna kulit dan fahaman.

Katanya, walaupun UMNO adalah parti yang memperjuangkan agenda orang Melayu dan bumiputera, untuk kekal relevan, UMNO harus menyahut aspirasi Presiden supaya ahli parti juga perlu membela nasib rakyat berbilang kaum di negara ini. - UM

No comments:

Post a Comment