My Add

Tuesday 6 December 2011

Rakyat Kelantan, NGO kecewa penceramah Pas

KOTA BHARU, SELASA 06 Disember, 2011: ORANG ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini kecewa dengan tindakan penceramah Pas yang menyamakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan nabi.

Mereka turut menyifatkan tindakan penceramah terbabit, Shamsul Zaman Sukri atau 'Ustaz Budak' sebagai melampau dan mengelirukan serta mahu tindakan diambil ke atasnya.

Seorang peniaga, Che Muhammad Nordin, 51, berkata, walaupun dalam hadis ada menyatakan bahawa ulama itu merupakan pewaris nabi, namun umat Islam dilarang untuk menyamakan nabi dengan orang biasa.

"Nik Aziz adalah ahli politik, tidak boleh menyamakan beliau dengan nabi dan jika dilihat ramai lagi orang macam beliau. Perkara ini berlaku disebabkan ketaksuban 'Ustaz Budak' kepada beliau," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Bekas Pengerusi Gerakan Belia 4B Tok Janggut Pasir Pekan, Tumpat, Abdul Razak Sidik, 47, berkata, kenyataan 'Ustaz Budak' itu bertentangan dengan ajaran Islam.

"Sebelum ini, gelaran 'Tok Guru' pun sudah terlalu tinggi untuk Nik Aziz bagi masyarakat setempat dan gelaran itu cuma orang Pas mengiktirafkannya.

''Kalau Nik Aziz seorang ulama yang betul, saya berharap beliau berjumpa dengan 'Ustaz Budak' untuk memperbetulkan keadaan," pintanya.

Bagi Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan Bahagian Machang, Kamaruddin Abdul Kadir,63, kenyataan Shamsul Zaman itu amat melampau dan mengelirukan.

"Nabi Muhammad merupakan penghulu segala rasul dan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT," katanya.

Naib Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasir Pekan Hilir, Tumpat, Abdullah Ismail, 60, berkata, tindakan Shamsul Zaman itu boleh dianggap cuba menyebarkan dakyah songsang dalam masyarakat.

"Manusia biasa tidak boleh sesekali disamakan dengan nabi dan tiada seorang manusia pun sama dengannya," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment