My Add

Tuesday 6 December 2011

Terengganu sedia pinjaman rakyat bina rumah

KUALA TERENGGANU, SELASA, 06 Disember, 2011: 
SATU lagi khabar menggembirakan untuk rakyat negeri ini apabila kerajaan negeri mengumumkan penyediaan Dana Pinjaman Perumahan Rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan buat permulaan dalam usaha memberi lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah yang mereka idamkan.

Skim berasaskan syariah yang kini sedang diperhalusi kaedah pelaksanaan dan syarat pinjamannya itu akan membolehkan setiap pemohon meminjam sehingga RM50,000.

"Langkah ini membuktikan kerajaan sangat prihatin terhadap keperluan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa Ucapan Bajet 2012 pada sidang Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

Katanya, kemudahan itu disediakan setelah mengambil kira rakyat yang memiliki tanah tetapi tidak berkemampuan membina rumah di atas tapak berkenaan.

''Ini kerana mereka tidak boleh mendapat pinjaman daripada institusi kewangan disebabkan tidak ada berpendapatan tetap.

''Bagi membantu golongan terbabit yang bakal memenuhi syarat yang ditetapkan kelak, kerajaan negeri setuju diadakan dana pinjaman," ujarnya.

Ia merupakan pendekatan terbaharu kerajaan negeri selain meneruskan program pembangunan perumahan yang menjadi agenda utama memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 10,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun mulai 2008 dan sehingga kini 23 projek rumah kos rumah dan rumah mampu milik melibatkan 6,737 unit telah dilaksanakan dengan kos RM659.73 juta.

''Pada tahun depan, RM80 juta diperuntukkan untuk meneruskan projek-projek sambungan dan memulakan pelaksanaan tujuh projek yang melibatkan pembinaan 2,277 unit rumah," ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment