My Add

Tuesday 6 December 2011

Perkemas fungsi, tanggungjawab majlis agama Islam negeri

JAMILKhir Baharom, Mashitah Ibrahim, Othman Mustapha (kiri) dan Mohamad Zabidi Zainal (dua dari kiri) bersama maskot program realiti TV, Adik-Adikku di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR , SELASA, 06 Disember, 2011: PENUBUHAN Majlis Ulama dilihat mampu melengkap dan memperkemaskan fungsi dan tanggungjawab majlis agama Islam negeri-negeri.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perbincangan teliti, mendalam dan matang perlu dilakukan sebelum melaksanakan cadangan tersebut.

"(Ini kerana) kita sudah ada majlis agama Islam di setiap negeri dan di dalamnya ada mufti serta ketua-ketua pengarah selain pegawai agama.

"Sudah tentu kita (perlu) melihat perkara ini secara keseluruhan dan mendalam selain mengambil kira semua kepentingan. (Tetapi) penubuhan Majlis Ulama tersebut mampu memenuhi keperluan mengisi kelengkapan dan memperkemaskan kepimpinan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar serta pelancaran portal IslamGRID di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2011-2014 dan program realiti TV, Adik-Adikku musim ketiga.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 baru-baru ini, bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyarankan supaya UMNO menubuhkan Majlis Ulama dalam usaha membuktikan parti itu masih relevan dengan perjuangan Islam dan orang Melayu.

Selain itu, ia juga bagi memastikan suara golongan tersebut lebih terarah dan tidak terlalu bergantung kepada ulama di dalam kerajaan.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, biarpun kewajaran penubuhan majlis itu memperlihatkan UMNO masih relevan memperjuangkan Islam dan orang Melayu, namun ia perlu dibincang dan didalami supaya satu keputusan tepat dapat dilakukan.

"Terpulang kepada cadangan, yang penting mendalami (perkara tersebut) supaya (kita) buat keputusan tepat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendekatan bijaksana perlu dilakukan dalam usaha memastikan perundangan Islam difahami semua pihak termasuk hukum hudud.

"Transformasi perundangan Islam harus berjalan seiringan dalam kita membawa dan mengangkat agama Islam dalam perundangan," katanya.

Beliau mengulas mengenai Forum Awam: Hudud dan Implikasi terhadap bukan Islam anjuran Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) semalam. - UM

No comments:

Post a Comment