My Add

Thursday 8 December 2011

PM mahu rakyat hayati sejarah perjuangan UMNO

LANGKAWI, KHAMIS, 08 Disember, 2011: 
DATUK Seri Najib Razak mengajak rakyat menghayati sejarah perjuangan UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) supaya mereka terus menghargai kerajaan yang menerajui negara. 

Perdana Menteri berkata, apabila diimbas kembali sejarah itu, rakyat akan menyedari betapa besarnya nilai perjuangan UMNO selama ini.

Berucap merasmikan Wisma UMNO Langkawi di pekan Kuah hari ini, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, dengan kesedaran sejarah itu, masyarakat Melayu akan menyedari bahawa mereka tidak mempunyai alasan untuk menggadai UMNO.

Katanya, UMNO dan BN akan terus membawa perubahan demi perubahan untuk kepentingan rakyat pada zaman "pertarungan minda" ini yang mana sehingga kini UMNO terus terbukti memenangi pertarungan itu melalui idea ulungnya. 

Beliau yakin rakyat akan terus memberi keyakinan kepada parti yang memerintah berdasarkan suasana global yang menunjukkan ketidakstabilan politik sesebuah negara akan turut memusnahkan kehidupan rakyatnya. 

Oleh itu, menurut Najib, rakyat perlu menghargai apa yang sedang mereka nikmati sekarang melalui keupayaan parti yang menerajui negara ini. 

Perdana Menteri turut mengimbau sejarah Pulau Langkawi yang terpinggir suatu ketika dulu kini membangun sebagai sebuah pulau yang bertaraf antarabangsa. 
"Sekitar tahun 60-an Pulau Langkawi begitu daif dan untuk sampai ke pulau ini menggunakan feri mengambil masa empat jam. Sekarang 45 minit dah boleh sampai (dari Kuala Perlis)," katanya. 

Katanya, harga tanah di pulau legenda itu juga kini melonjak jauh lebih tinggi hasil pembangunan yang dibawa masuk oleh kerajaan. 

Beliau mengambil contoh, seorang pengawal keselamatan yang hidup serba kekurangan tiba-tiba menjadi jutawan apabila tanah miliknya di Padang Matsirat, Pulau Langkawi dibeli dengan harga RM2 juta ketika pulau itu mula membangun. 

"Semua ini hasil perjuangan UMNO dan BN yang menghayati denyut nadi rakyat. Tak ada pihak (selain UMNO dan BN) boleh dakwa bahawa mereka berbudi kepada masyarakat Langkawi," katanya. 

Najib berkata, pada awal tahun 80-an, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan Langkawi sebagai pulau bebas cukai dan kini beliau akan meneruskan usaha itu dengan memastikan Langkawi terus berada di landasan yang lebih baik. 

Antara yang perlu diberi perhatian di Pulau Langkawi bukan sekadar pembangunannya tetapi juga kualiti alam dan kehidupan masyarakatnya. 

"Kita tidak mahu ada kemusnahan alam di Pulau Langkawi. Masyarakat dunia tuntut piawaian yang tinggi terhadap alam sekitar," katanya. 

Untuk menjadikan Langkawi terus bertaraf dunia, beliau berkata, masyarakatnya juga perlu berminda kelas dunia dengan mengutamakan kebersihan alam sekitar pulau itu. 

Beliau berkata, kehadiran pelancong ke Pulau Langkawi kerana keindahannya yang secara tidak langsung memberi rezeki kepada pengusaha sektor pelancongan dan jika aspek kebersihan tidak dijaga, pelancong akan berkurangan dan pendapatan mereka di sektor itu juga terjejas. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan peruntukan membina 17 jeti nelayan berjumlah RM17 juta kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Langkawi serta cek pinjaman Tekun Nasional kepada 91 usahawan Langkawi bernilai RM782,000. 

Najib turut melawat Wisma UMNO Langkawi setinggi dua tingkat bernilai RM1.65 juta serta menyertai orang ramai pada majlis kenduri kampung di perkarangan wisma itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment