My Add

Saturday 10 December 2011

PSC perlu lebih fokus isu hak asasi: SUHAKAM

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Disember, 2011: 
SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) hari ini mengesyorkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) membuat pertimbangan yang lebih fokus dan berpengetahuan mengenai isu hak asasi di kalangan ahli Parlimen. 

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam, berkata ia sekali gus dapat mengukuhkan proses demokrasi berparlimen di negara ini.

"Setiap penggubalan dasar atau undang-undang baru berkaitan kepentingan negara bukan hanya sekadar mematuhi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan tetapi juga prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa," katanya pada Majlis Anugerah Hak Asasi Manusia 2011 di sini.

Beliau juga menyeru kerajaan supaya memberi komitmen dan mengadakan usaha baru yang lebih fokus terhadap instrumen teras hak asasi manusia. 

"Keluhan perasaan rakyat perlu diamati dan diberi keutamaan tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang dalam penyediaan polisi dan pelaksanaan program tertentu khususnya untuk golongan wanita, kanak-kanak, warga emas serta Orang Asli Semenanjung dan Orang Asal di Sabah dan Sarawak," katanya. 

Hasmy berkata, Malaysia perlu menjadi peneraju utama dalam menjadi negara utama menjaga hak asasi manusia di kalangan negara ASEAN. 

Pada majlis yang pertama kali diadakan itu, Sekolah Intergriti menerima Anugerah Khas manakala Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menerima hadiah bagi Kategori Organisasi. 

Seorang wanita asli suku kaum Semai, Tijah Yok Chopil menerima hadiah bagi Kategori Individu dan laporan Edisi Siasat Mandarin, 'Young Maid For Sale' oleh Kong Lik Hwan dari NTV7 memenangi bagi Kategori Media. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment