My Add

Saturday 10 December 2011

UMNO Kelantan sediakan senarai awal calon PRU-13

TUMPAT, SABTU, 10 Disember, 2011: 
UMNO Kelantan kini sudah menyediakan senarai awal nama calon yang akan dikemukakan kepada ibu pejabat parti untuk dipertimbangkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13(PRU-13),nanti. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed,
berkata antara yang akan dicalonkan adalah beberapa nama mereka yang pernah bertanding pada pilhan raya umum lalu dan masih diterima rakyat.

"Sekarang masih di peringkat perbincangan dengan semua bahagian di Kelantan 
dan ketika ini bayangan awal calon itu sudah ada dan akan dimuktamadkan sebelum penghujung bulan depan untuk dihantar kepada ibu pejabat parti. 

"Calon yang akan dikemukakan merupakan mereka yang diterima rakyat yang 
mempunyai pelbagai latar belakang antara gabungan muka lama dan baru yang mampu membawa Kelantan ke era yang lebih gemilang jika diberi kepercayaan oleh rakyat," katanya selepas melawat beberapa sekolah di sini, hari ini yang dijadikan pusat pengagihan Borang Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia. 

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata 
antara calon itu adalah adalah ulama dan golongan muda yang mampu memberi 
cabaran kepada Pas. 

"Calon ini sudah pasti boleh diterima bukan sahaja kepada anggota Umno 
tetapi juga kepada penyokong Pas yang merupakan individu mesra rakyat sebelum ini," katanya. 

Beliau meminta budaya sabotaj atau `cah keting' sama sekali tidak berlaku 
pada pilihan raya kali ini dan yakin semua ahli UMNO kini matang untuk 
berpolitik dan menerima siapa sahaja calon yang dipilih. 

Mustapa juga meminta jentera penerangan UMNO Kelantan supaya lebih agresif 
memberikan penerangan mengenai isu terkini kepada penduduk negeri ini yang 
kurang mendapat gambaran sebenar mengenai isu itu. 

"Jentera penerangan jangan leka dan perlu segera memberikan penjelasan 
terutama yang membabitkan isu yang jika tidak diperbetulkan akan mengundang 
perspektif tidak baik kepada parti," katanya. 

Beliau juga membidas kerajaan Kelantan pimpinan Pas yang hanya mampu 
membina sebuah masjid sejak memerintah lebih 20 tahun. 

Katanya, memberi contoh di Jeli saja dua masjid baru sudah dibina 
dalam tempoh 10 tahun dengan kesemua masjid lama yang lain dinaik taraf dengan peruntukan yang besar. 

"Ini semua membuktikan kelemahan kerajaan Kelantan yang ada dan banyak lagi 
isu yang perlu dijelaskan kepada rakyat Kelantan," katanya. 

Mengulas pengagihan borang itu, Mustapa berpuas hati dengan perjalanan 
pengagihan borang itu hari ini. 

Katanya, lebih 300,000 borang diagih-agihkan kepada mereka yang layak di 
Kelantan dan mulai hari ini dan esok juga borang itu akan diagih-agihkan di 160 sekolah di negeri ini. 

"Kita beri jaminan mereka yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 
itu dan rayuan juga boleh dikemukakan selepas ini tetapi perlulah mengikut 
syarat yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment