My Add

Monday 19 December 2011

RM100.2j bantu rakyat Selangor

KUALA LUMPUR. ISNIN, 19 Disember, 2011:Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) telah membelanjakan sejumlah RM100.2 juta kepada rakyat negeri Selangor sepanjang tahun ini bagi meningkatkan taraf hidup sejajar dengan dasar kerajaan mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, menerusi peruntukan itu, kementerian bukan sahaja menyediakan bantuan dari segi kewangan, malah memberi peluang pekerjaan, pendidikan dan pertanian.

''Kita sedih apabila berdasarkan statistik, kerajaan negeri hanya membelanjakan RM13 juta sepanjang tahun ini untuk membantu rakyatnya, oleh itu Kerajaan Pusat yang amat prihatin terus membantu," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Sambutan Perayaan Krismas Wanita Barisan Nasional (BN) di sini, semalam.

MUZDALIFAH MUSTAPHA melaporkan, dalam majlis itu, Wanita BN menyerahkan bungkusan hamper dan wang tunai RM100 kepada 400 penduduk di sekitar Puchong sempena perayaan Hari Natal yang akan disambut tidak lama lagi.

Shahrizat berkata, program 1Azam yang turut mendapat kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Industri Asas Tani telah memperlihatkan perkembangan positif di kalangan rakyat dan ia akan diteruskan pada masa depan.

Sementara itu, ditanya mengenai peluang kerja separuh masa untuk golongan wanita yang kini dilihat berada di tahap rendah, katanya, perkara itu dalam pemerhatian kementerian untuk diketengahkan.

Jelasnya, pihaknya amat komited dalam isu itu memandangkan ia merupakan salah satu sumber pendapatan negara yang sememangnya boleh membantu golongan wanita meningkatkan taraf hidup masing-masing.

''Bagaimanapun pada masa ini peluang itu belum mendapat sambutan di kalangan majikan kerana bimbang wanita tidak boleh menumpu sepenuh perhatian kepada pekerjaan kerana urusan keluarga," kata beliau.

Dalam hubungan itu, beliau menekankan supaya sektor swasta dan awam memberi pertimbangan untuk menyediakan pusat jagaan kanak-kanak supaya memudahkan pekerja mereka yang bekerja separuh masa menempatkan anak-anak di premis tersebut.

''Saya amat yakin jika usaha itu mendapat perhatian semua sektor, golongan wanita akan menjadi lebih komited dan produktif dalam kerjaya masing-masing. Cuma perkara ini memerlukan perubahan minda dalam kalangan sesetengah majikan," ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment