My Add

Wednesday 7 December 2011

RM34 juta dadah pelbagai jenis dirampas di KLIA, LCCT

SEPANG, RABU, 07 Disember, 2011:
PELBAAI jenis dadah bernilai RM34 juta dirampas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT), tahun ini. 

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata ia membabitkan 39 kes dengan jumlah 42 tangkapan pelbagai warganegara asing termasuk Malaysia.

"Ini adalah statistik bermula Januari sehingga ke hari ini dan mereka kebanyakannya terdiri daripada warga asing yang cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan menggunakan pelbagai taktik dan helah.

"Bagaimanapun dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang ada ia berjaya ditumpaskan" katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata, bagi memperkuatkan lagi penguatkuasaan di kawasan KLIA dan LCCT, Jabatan Kastam akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa lain seperti polis. 

Govinden berkata, Kastam juga akan sentiasa menambah anggotanya dari semasa ke semasa untuk bertugas di KLIA dan LCCT bagi mengekang penyeludupan dadah. 

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh 16 hari bermula 20 November lalu, Kastam merampas 16.62 kilogram dadah jenis Syabu bernilai RM4.15 juta dan dalam tempoh itu juga lima warga asing ditahan bagi membantu siasatan. - 

Di JOHOR BAHRU: Cubaan menyeludup masuk pelbagai jenis minuman keras dan rokok putih dari Singapura ke negara ini gagal apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menahan seorang lelaki di sini, semalam. 

Pemangku Pengarah JKDM Johor, Abdullah Sidik, berkata lelaki yang memandu lori melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bangunan Sultan Iskandar itu ditahan di tepi Jalan Tebrau, di sini, pada jam 10.15 pagi.

"Hasil pemeriksaan ke atas pemandu dan lori berkenaan, kami menemui 2.1 juta batang rokok putih jenama John Menthol dan 6,132 botol minuman keras pelbagai jenama. Tiada dokumen ditemui bagi membuktikan barangan terbabit sebagai lulus kastam," katanya, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, kesemua barangan terbabit ditaksirkan bernilai RM146,088 dan membabitkan cukai bernilai RM1.12 juta. 

Beliau berkata, pihaknya percaya minuman keras berkenaan untuk edaran tempatan dan mendapat permintaan sempena Krismas hujung bulan ini. 

Abdullah berkata, lelaki berumur 35 tahun itu kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan kes itu Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. 

Beliau berkata, JKDM Johor berjaya menggagalkan 55 kes penyeludupan melalui Bangunan Sultan Iskandar sepanjang tahun ini yang membabitkan nilai dagangan berjumlah RM6.9 juta dan cukai bernilai RM17.6 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment