My Add

Monday 5 December 2011

Siap sedia hadapi PRU13 - Mukhriz

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Disember, 2011:
UCAPAN penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 kelmarin berjaya menyuntik semangat berkobar-kobar perwakilan untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir memberitahu wartawan Utusan Malaysia, SAHBULAH DARWI, UMNO negeri itu bersedia menggalas misi untuk menterjemahkan semangat itu dalam bentuk merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang.

UTUSAN: Apakah pandangan Datuk berhubung ucapan penggulungan Presiden UMNO semalam?

MUKHRIZ: Bagi saya, ia adalah satu semboyan untuk meminta kita bersiap sedia hadapi pilihan raya. Oleh itu kita wajib tidak lagi memikirkan soal masalah-masalah dalaman yang seharusnya sudah diselesaikan dan hanya lihat ke hadapan untuk memastikan kemenangan besar untuk BN dan UMNO.

Dalam konteks Kedah, sudah tentulah untuk menyumbang kemenangan bagi mempertahankan Putrajaya dan juga merampas semula Kedah daripada Pas.

Presiden menyentuh soal, kekalahan lalu adalah disebabkan ada anggota parti yang mengkhianati parti. Apa pandangan Datuk?

Saya rasa walaupun pada awal-awal dulu kita masih ada masalah seperti itu, tetapi perwakilan sudah mempunyai satu keazaman untuk mengetepikan segala persengketaan yang membawa mudarat kepada parti.

Kesedaran itu akan kita terjemahkan dalam bentuk usaha yang berpadu, tak kiralah siapa yang bakal dipilih sebagai calon. Dan saya juga merasakan bahawa sebaliknya sebarang niat yang tak baik yang mungkin masih lagi berlegar dalam pemikiran ahli dan pemimpin di kawasan kita, akan mereka terus hentikan kerana mereka faham bahawa Presiden dan timbalannya (Tan Sri Muhyddin Yassin) begitu serius untuk mengambil tindakan jika berlaku lagi seperti PRU12 lalu.

Bermakna masalah dalaman telah dapat diselesaikan ?

Kalau ada pun hanya sikit lagi yang perlu diberi perhatian tetapi secara keseluruhannya semangat iltizam tinggi dan kental untuk memastikan parti menang.

Saya fikir semua faham bahawa mereka tidak seharusnya melihat dirinya rugi jika dia tidak dicalonkan dan sebaliknya berusaha untuk memastikan kemenangan parti yang secara langsung akan membawa kejayaan kepada kita semula.

Ramai perwakilan menyentuh soal calon boleh menang. Bagaimana pula dalam konteks Kedah?

Ia bergantung kepada kawasan itu sendiri, kalau di sesuatu kawasan itu contohnya, komposisi umur pengundi lebih dilihat kepada golongan muda, jadi saya lebih sesuai untuk mencari seorang calon yang mudah untuk mendekati golongan tersebut.

Ia tidak bermaksud bahawa calon itu semestinya dia sendiri pemuda tetapi sekurang-kurangnya orang mula lihat dia seorang calon yang lebih mudah didekati dan memahami keperluan mereka.

Satu lagi yang perlu diberi penekanan ialah kita boleh lihat hanya soal kawasan dalam proses memilih calon tetapi apa jenis orang yang perlu disediakan untuk menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN), sudah tentu kita perlu profesional, cendekiawan, orang agama dan mahir dalam merangka strategi, semua ini perlu diambil kira dalam memilih calon bagi semua negeri.

Ia mampu menyumbang nilai tambah yang tinggi kepada pasukan yang bakal mengambil alih dewan undangan negeri.

Apakah mesej penting yang perlu disampaikan oleh perwakilan kepada rakyat Kedah?

Saya rasa tidak ada formula yang terbukti lebih baik daripada yang diamalkan oleh BN. Sebelum ini kita dengar tuduhan tidak berasas dilontarkan ke arah UMNO kononnya ia sebuah parti rasis, tetapi seperti yang dinyatakan bahawa di kawasan yang pengundinya majoriti Melayu sekalipun kita sanggup memenangkan calon yang bukan Melayu. Ini jelas membuktikan kita bukan parti yang rasis.

Sedangkan tiga parti dalam pakatan rakyat tidak sehaluan dari segi prinsip dan pendekatan, rakyat lihat ini adalah pakatan yang diwujudkan semata-mata untuk menawan Putrajaya dan kita tak boleh bayangkan apa yang akan jadi kalau mereka berjaya dalam usaha tersebut.

Mesejnya ialah berilah kepercayaan kepada kemampuan BN, UMNO untuk melakukan yang terbaik bagi rakyat Kedah. Walaupun kalah, kita telah menunaikan janji kita, sedangkan pihak yang menang tidak menunaikan janji. Bayangkan kalau kita menang betapa banyak kebaikan yang kita berikan kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment