My Add

Friday 23 December 2011

Surakiart Sathirathai akan berucap pada GMM

Khalek Awang
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Disember, 2011: Bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Surakiart Sathirathai adalah antara tokoh pemimpin terkemuka yang akan berucap pada Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang akan diadakan  pada 17 hingga 19 Januari ini.

Presiden Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khalek Awang berkata, Surakiart yang berkhidmat pada era pemerintahan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra akan menyampaikan ucapan bertajukGlobal Moderation: Coalition of The Willing.

"Selain Surakiart, beberapa tokoh utama pemimpin lain juga akan berucap pada persidangan itu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang akan menyampaikan ucaptama bertajuk, Gerakan Kesederhanaan Global: Langkah ke Hadapan.

"Harapan kita supaya pada akhirnya persidangan ini dapat memberikan satu takrifan kepada maksud sebenar kesederhanaan dalam konteks global" katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pertama kali dianjurkan, Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global itu bakal disertai oleh kira-kira 300 tokoh pemimpin dengan 100 daripadanya merupakan pemimpin tempatan manakala selebihnya pemimpin dari seluruh dunia.

Bertemakan Ke Arah Keadilan Berkekalan, persidangan itu akan mengupas mengupas mengenai aspek kesederhanaan menerusi 13 topik berkaitan termasuk kewangan global, keamanan sosial, polisi luar, Amerika Syarikat dan dunia Islam, peranan pendidikan dalam kesederhanaan dan resolusi konflik.

Persidangan yang mengambil tempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu merupakan cetusan idea Najib pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-65 yang menyeru pemimpin dunia supaya menolak fahaman ekstrem dengan menyertai 'gerakan kesederhanaan'.

Sehingga kini, persidangan itu sudah menerima pengesahan penyertaan pemimpin dan tokoh intelektual dari India, New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Finland dan Turki.

Turut mengesahkan penyertaan ialah delegasi dari Taiwan, Sweeden, Australia, Korea, Laos, Belanda, Rusia, Singapura, Slovakia, Timor Leste dan Yaman.

Sempena majlis itu juga, sebuah buku bertajuk, Gerakan Kesederhanaan Global terbitan Razak School of Government juga akan dilancarkan. - UM

No comments:

Post a Comment