My Add

Wednesday 21 December 2011

Syarikat bas henti-henti Pahang sambut baik bantuan kerajaan

KUANTAN, RABU, 21 Disember, 2011: Beberapa syarikat bas henti-henti di Pahang menyambut baik dana RM400 juta yang diumumkan kerajaan pusat bagi membantu operator perkhidmatan itu yang disifatkan dalam keadaan "nyawa-nyawa ikan". 

Pengurus Operasi Bee Huat Omnibus Company Sdn Bhd, Mohd Akmal Kong Abdullah, berkata dana itu diharap dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung syarikatnya berikutan kenaikan kos penyelenggaraan dan harga minyak.

"Kita kini mempunyai 45 buah bas namun hanya 22 saja beroperasi manakala bakinya rosak dan tidak dapat dibaik pulih kerana membabitkan kos yang tinggi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, syarikat yang beroperasi sejak 1973 itu juga berdepan dengan isu kemerosotan bilangan penumpang memandangkan masyarakat sekarang lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri. 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih belum dimaklumkan mengenai perincian pelaksanaan bantuan tersebut. 

"Adakah kita perlu membayar kembali dengan faedah atau peruntukan ini diberi secara 'one-off' kepada pengusaha bas?" katanya. 

Pengurus Operasi Rahmat Alam Interprise Sdn Bhd, Rohazila Rahmatullah turut mengalu-alukan peruntukan tersebut khususnya dalam membantu syarikat bas yang mahu mengembangkan operasi seperti syarikatnya. 

Beliau berkata, syarikat itu yang ditubuhkan sejak 15 tahun lalu, hanya mempunyai sembilan buah bas dan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk menambah jumlah bas bagi meningkatkan laluan sedia ada. 

"Mungkin dana berkenaan membolehkan kita membeli bas baru, namun setakat ini kita belum dimaklumkan secara terperinci mengenai agihan peruntukan tersebut," katanya. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Seng Heng Bus Sdn Bhd, Chew Ai Boi berharap kerajaan dapat menganjurkan pertemuan dengan pengusaha bas henti-henti di negeri tersebut dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Isnin lalu mengumumkan dana berjumlah RM400 juta bagi membantu syarikat bas henti-henti yang ebrdepan masalah kewangan untuk meneruskan operasi mereka di seluruh negara. 

Najib berkata, untuk fasa pertama, dana itu akan digunakan bagi membantu syarikat bas di Selangor, diikuti negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment