My Add

Monday 5 December 2011

Tokoh agama setuju tubuh Majlis Ulama

KUALA LUMPUR, ISNIN. 05 Disember, 2011:  
TOKOH-TOKOH agama bersetuju dengan saranan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya UMNO menubuhkan Majlis Ulama dalam usaha membuktikan parti tidak berjanji kosong dalam memperjuangkan Islam dan orang Melayu.

Tokoh akademik Islam, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, penubuhan majlis itu satu perkara yang baik dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan Islam yang dilemparkan pembangkang kepada UMNO.

“Untuk menyelesaikan perkara ini, UMNO memang memerlukan ulama yang terlibat dalam politik supaya mereka dapat memberi penjelasan dan penyelesaian berhubung isu agama dari segi politik.

“Hukum-hukum yang diutarakan oleh ulama adalah luas. Kalau ia diutarakan oleh ulama yang tidak terlibat dengan politik, hukum tersebut adalah umum.

“Kalau ulama itu terlibat dengan politik, maka hukum serta pandangan yang diberikan adalah melalui pandangan politik yang cenderung kepada menjawab persoalan berdasarkan kepada pendirian parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohd. Asri sebelum ini menyarankan supaya UMNO segera menubuhkan Majlis Ulama dalam usaha membuktikan parti tersebut relevan dengan perjuangan Islam dan orang Melayu.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut turut bersetuju dengan penubuhan Majlis Ulama, namun peranan ulama di dalam parti harus diteliti terlebih dahulu sebelum majlis itu ditubuhkan.

“Ulama dalam majlis itu harus lebih berani bersuara dan tidak gentar untuk menyuarakan apa yang halal dan apa yang haram. Kita tidak mahu majlis itu diwujudkan atas nama sahaja tetapi tiada fungsi kerana ulama takut untuk bersuara dan menegakkan kebenaran.

“Apa yang penting ialah kaji dahulu peranan ulama dalam majlis tersebut dan beri mereka kepercayaan 100 peratus dan kehadiran mereka mesti berkecuali serta tidak membawa kepentingan parti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ulama dalam majlis tersebut juga perlu memberi hukum serta menunjukkan jalan yang sepatutnya kerana dengan cara itu UMNO pasti menjadi parti yang disegani oleh rakyat. - UM

No comments:

Post a Comment