My Add

Saturday 17 December 2011

Triti banteras jenayah rentas sempadan

ABDUL Gani Patail bertukar dokumen dengan Simon Mark Featherstone pada majlis menandatangani perjanjian antara Malaysia dengan United Kingdom di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Disember, 2011: Malaysia dan United Kingdom (UK) melangkah setapak lagi dalam kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan apabila secara rasmi menandatangani Triti Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah di antara kedua-dua negara hari ini.

Dengan perjanjian itu, pihak berkuasa kedua-dua negara boleh mendapatkan bantuan satu sama lain, antaranya dalam mencari dan merampas dokumen seperti akaun bank suspek, rampasan wang jenayah dan mengadakan sidang video bagi mengemukakan bukti berkaitan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, perjanjian berkenaan akan memudahkan pihak berkuasa kedua-dua negara melaksanakan tugas mengumpul bukti, seterusnya mempercepatkan urusan menyelesaikan sesuatu kes yang melibatkan bukti di negara terbabit. Menurutnya, di antara kes jenayah yang boleh mengguna pakai perjanjian itu termasuk penyeludupan dadah, aktiviti keganasan dan penyeludupan manusia.

"Sejak dua tahun lalu, UK ada meminta kita membantu penyiasatan mereka dalam tiga kes dan dua daripadanya telah selesai, sementara satu lagi sedang diusahakan.

"Kini terpulang kepada agensi penguatkuasaan (kedua-dua negara) untuk menggunakan sebaik mungkin peruntukan ini dalam menjejaki jenayah dan membawa para penjenayah ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Simon Mark Featherstone selepas menyempurnakan Majlis Triti Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah Antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan UK di sini.

Dalam pada itu, kata Abdul Gani, triti berkenaan tidak menjejaskan hubungan dan kerjasama tidak rasmi penguatkuasaan kedua-dua negara seperti melalui polis antarabangsa (Interpol).

"Justeru itu, saluran tidak rasmi sedia ada harus terus digunakan seperti dalam proses mendapatkan bukti tanpa melalui arahan mahkamah atau waran rampasan," tegasnya.

Dalam pada itu, Featherstone memberitahu, perjanjian itu dapat memudahkan proses mengemukakan bukti melalui sidang video dari negara lain.

"Ini memberi kemudahan apabila pihak terbabit tidak perlu menaiki kapal terbang dalam mengemukakan bukti diperlukan," katanya. UM

No comments:

Post a Comment