My Add

Saturday 17 December 2011

UMNO Baling bantu keluarga tinggal di bangsal padi

BALING, SABTU, 17 Disember, 2011: Nasib sebuah keluarga 12 beranak yang terpaksa tinggal dalam bekas bangsal padi mendapat simpati UMNO Bahagian Baling yang bersetuju membina sebuah rumah baharu kepada keluarga berkenaan.

Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, rumah pasangan Abd. Rahman Md. Rejab, 56, dan isterinya, Fauziah Md. Zain, 47, di Kampung Rambong Batu Tujuh di sini akan dibina secepat mungkin.

Menurut beliau, pihaknya melalui Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB) akan membina rumah keluarga berkenaan dengan kos sebanyak RM33,000.

"Rumah keluarga berkenaan antara 100 buah rumah yang sedang dan akan dibina di kawasan Parlimen Baling," katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga berkenaan semalam.

Selasa lalu Utusan Malaysia menyiarkan nasib Abd. Rahman dan keluarganya yang terpaksa tinggal dalam sebuah bekas bangsal padi.

Sementara itu, Abd. Rahman lega dan bersyukur kerana nasib keluarganya terbela hasil keprihatinan UMNO kawasan itu.

''Sebelum ini saya tinggal di rumah salah seorang ahli keluarga tetapi selepas dia menduduki kembali rumah itu, saya terpaksa berpindah,'' katanya.

Dalam pada itu, Fauziah berkata, bapa saudaranya, Md. Din Md. Ludin bermurah hati memberi tanah untuk dijadikan tapak rumah baru mereka.

''Ia disertai dengan surat perjanjian bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini di kemudian hari,'' katanya.

Beliau menambah, masalah keluarganya telah diajukan kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azzamuddin Md. Taib yang berjanji untuk melawat selepas kembali daripada menunaikan haji.

''Tetapi hingga kini kami belum dikunjungi Ahli Parlimen berkenaan,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment