My Add

Thursday 22 December 2011

YKN bantu lebih 100 golongan gelandangan dapat pekerjaan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Disember, 2011: Seramai 150 orang daripada 386 golongan gelandangan yang berdaftar di Anjung Singgah sejak April tahun ini sehingga 20 Disember lalu berjaya mendapat pekerjaan hasil usaha Yayasan Kebajikan Negara (YKN). 

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A Rahman Sayed Mohd, berkata kesemua mereka ditempatkan di 32 syarikat swasta dalam pelbagai bidang pekerjaan berdasarkan minat dan pengalaman masing-masing.

"Anjung Singgah berfungsi sebagai pusat khidmat sosial gelandangan dalam membantu mereka mengatasi masalah mendapatkan pekerjaan, tempat tinggal dan masalah lain yang berkaitan," katanya selepas majlis Krismas @ Anjung Singgah di sini, hari ini.

Sayed A Rahman berkata, cabaran utama YKN ialah memastikan golongan berkenaan yang berjaya mendapat pekerjaan kekal di tempat kerja masing-masing. 

Katanya, masyarakat tidak seharusnya memandang rendah golongan gelandangan sebaliknya harus bersama-sama membantu mereka membina keyakinan diri untuk maju. 

Sayed A Rahman juga berkata, YKN akan memperkenalkan program Jaringan Usahawan bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan menceburi bidang perniagaan. 

"Golongan gelandangan ini akan diberi bimbingan melalui mentor atau usahawan yang berjaya, khidmat motivasi dan kursus perniagaan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan. 

“YKN akan bertindak menyalurkan modal kepada golongan berkenaan melalui Geran Rangsangan Kapital atau Skim G'Rak bagi membantu mereka memulakan perniagaan,” katanya. 

Pada majlis itu, YKN mengagihkan makanan tengah hari dan beberapa barangan keperluan kepada 500 orang golongan gelandangan di sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. 

Sumbangan disampaikan Pengerusi Projek Khas Anjung Singgah Toh Puan Wan Hidayah Wan Ismail. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment