My Add

Sunday 20 May 2012

240 MID ditukar Mini RTC

KUALA PILAH, SABTU, 19 Mei, 2012: Sebanyak 240 buah Medan Infodesa (MID) di seluruh negara akan ditukar menjadi Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dalam usaha kerajaan mempercepatkan transformasi luar bandar sebagai kawasan yang produktif dan maju.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pembangunan Mini RTC bertujuan menjadi feeder kepada RTC yang telah pun ditubuhkan di Gopeng, Perak dan Tunjung, Kelantan.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 11 buah MID sudah siap ditukar kepada Mini RTC termasuk sebuah di sini.

"Mini RTC dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Mini RTC Kuala Pilah di sini hari ini.

Turut hadir timbalan beliau, Datuk Hasan Malek; Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pilah, Adnan Abu Hassan.

Mohd. Shafie berkata, pada tahun ini sebanyak 77 buah MID akan dijadikan Mini RTC yang menyokong lapan inisiatif RTC dalam skala kecil meliputi kawasan sekitar daerah atau mukim sesebuah tempat.

Tambahnya, pengisian utama Mini RTC ialah melaksanakan latihan dan kursus kepada masyarakat luar bandar seperti celik dan mahir komputer, pengenalan Internet dan pembangunan blog serta laman web.

"RTC adalah inisiatif jangka panjang kerajaan yang bakal memberi manfaat kepada hampir 9.5 juta penduduk luar bandar di negara ini.

"Ia melaksanakan transformasi bersepadu untuk penduduk luar bandar yang melibatkan lebih lapan kementerian di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 31 Mei 2011," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment