My Add

Thursday 17 May 2012

ADUN Bebas Pelagus sertai SWP

KUCHING, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pelagus, George Lagong mengesahkan telah menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan tidak lagi memegang status wakil rakyat Bebas. 

Beliau membuat pengumuman tersebut ketika membahaskan usul ucapan terima kasih di atas ucapan Yang Dipertua Negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

"Saya berdoa dengan harapan bahawa saya tidak lagi bersendirian di dewan yang mulia ini pada masa terdekat ini," katanya.

Pengumuman itu mengakhiri spekulasi selama beberapa minggu yang mengaitkan beliau dengan SWP yang diterajui oleh saudaranya yang juga ahli politik veteran, Datuk Sng Chee Hua. 

Parti SWP, yang pendaftarannya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada April lalu, masih belum memutuskan sekutunya dalam Pilihan Raya Umum ke-13. 

Pada pilihan raya negeri pada April 2011, George, yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi DUN Pelagus, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Stanley Nyitar dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Edward Sumbang Asun dengan majoriti 2,837 undi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment