PADANG SERAI, SELASA, 01 Mei, 2o12: MIC Kedah menyifatkan Datuk S. Ambiga, pengerusi penganjur perhimpunan di ibu negara Sabtu lalu sebagai "lidah bercabang" apabila menjanjikan perhimpunan berkenaan akan berjalan dengan aman tetapi berakhir dengan keganasan.
Pengerusi MIC Kedah, S. Ananthan, berkata perhimpunan yang diterajui Ambiga yang disokong pembangkang itu telah mencalarkan imej negara di mata dunia dan memalukan masyarakat India di negara ini.
"Perhimpunan itu juga menjadikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco-konconya menjadi 'desperado politik' kerana perhimpunan itu gagal seratus peratus," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 26 mangsa ribut di Paya Besar Mac lalu, di sini hari ini.
Ananthan juga bersetuju dengan pendapat bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohd Haniff Omar yang menyebut terdapat anasir komunis yang turut menyebarkan semangat bencikan polis pada perhimpunan itu.
"Secara senyap atau terbuka Tun Mohd Haniff perlu mendedahkan anasir-anasir tersebut demi kesejahteraan dan keamanan di negara ini," katanya.
Katanya, rakyat di negara ini yang majoritinya cintakan keamanan dan kesejahteraan amat berharap kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri akan bertindak sewajarnya dalam menangani isu keganasan yang berlaku semasa perhimpunan itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment