My Add

Sunday 27 May 2012

Anggota polis, bapa mertua maut kereta langgar bas

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Mei, 2012: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dan bapa mertuanya maut dalam kemalangan jalan raya di Batu 18, Jalan Besar Kundang, Sungai Buloh selepas kereta yang mereka naiki melanggar sebuah bas pesiaran yang diparkir di tepi jalan. 

Ketika kejadian pada jam 12.30 tengah hari tadi, Muhd Riduan Ab Razak, 32, yang bertugas di bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tasik Biru bersama Baharin Puteh, 59.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang pegawai penyiasat yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Sungai Buloh berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Muhd Riduan hilang kawalan sebelum melanggar bucu kanan bahagian belakang bas berkenaan. 

"Kereta itu dikatakan berpusing-pusing selepas pelanggaran terbabit. Mungkin impak dari rempuhan yang kuat itu, kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian," katanya. 

Sementara itu, isteri Baharin, Zunaidah Mahmud, 58, berkata ketika kejadian, suami dan menantunya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar isteri Muhd Ridzuan iaitu Nuraqilah Baharin, 26, ke tempat kerja di Subang. 

"Mereka sebelum itu singgah di sebuah pasaraya sebelum terbabas di lokasi kejadian. Makcik tak sangka akan kehilangan kedua-duanya dalam masa yang sama," katanya. 

Beliau berkata, Muhd Riduan dan anaknya baru setahun mendirikan rumah tangga dan belum dikurniakan cahaya mata. 

Zunaidah, seorang guru, berkata beliau dan suaminya, seorang pesara Jabatan Air Terengganu, tiba di rumah pasangan itu di Tasik Biru pagi semalam untuk menghadiri majlis kenduri kahwin saudara mereka di Shah Alam hari ini. 

"Makcik tinggal di Terengganu, dan tiba di rumah anak pagi semalam. Ingat datang sini nak bercuti... Tapi, lain yang jadi. Namun makcik reda dengan takdir yang telah ditentukan," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisoner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes akan disiasat di mengikut Seskyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment