My Add

Sunday 27 May 2012

Masyarakat Dayak letak harapan tinggi pimpinan Mawan

SIBU, AHAD, 27 Mei, 2012: Masyarakat Dayak Sarawak menaruh harapan tinggi terhadap barisan kepimpinan baru Kesatuan Dayak Sarawak (SDNU), yang menjadi payung persatuan anggota masyarakat itu, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang. 

Beliau berkata, SDNU adalah sebuah pertubuhan yang sangat penting.
Jabu berkata demikian ketika menghadiri perhimpunan pra Gawai Dayak anjuran bersama SDNU cawangan Sibujaya dan Rajang serta cawangan Persatuan Wanita Dayak Sarawak (SIDS) dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) bandar itu malam tadi.

"Kita punya alasan kukuh untuk mengharapkan para pemimpin baru ini mampu membawa SDNU ke tahap lebih tinggi serta mencapai pelbagai objektifnya," kata beliau. 

Kesatuan itu kini diterajui Menteri Pembangunan Sosial Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom, manakala timbalan beliau pula ialah Anggota Perlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi. 

Jabu berkata kebanyakan pemimpin kesatuan itu sebelum ini lebih memberi tumpuan terhadap berpolitik. 

"Akibatnya, prestasi mereka tidak mencapai seperti yang diharapkan. 
"Sebagai contoh, pembinaan ibu pejabat kesatuan ini di Kuching masih terbengkalai walaupun kini sudah masuk 10 tahun," katanya. 

Sementara itu, Jabu memuji cawangan SDNU di seluruh negeri ini yang sentiasa mendorong pelajar Dayak mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran. 

"Tanpa henti, anda memberi insentif kepada pelajar Dayak yang cemerlang dalam pelajaran pada majlis sambutan pra Gawai anjuran masing-masing dan ini sesuatu yang sungguh membanggakan. 

"Sebagai pengerusi Yayasan Kebudayaan Sarawak, saya bersedia untuk turut menyumbang kepada tabung seperti itu," katanya. 

Jabu berkata, masyarakat Dayak perlu menyumbang kepada pembangunan sumber manusia di negeri ini dan dalam melahirkan pemimpin masa depan. 

Beliau menjanjikan sumbangan peribadi RM20,000 kepada SIDS Sibu untuk menganjurkan pertandingan "Best Pua Kumbu (kain tenunan tradisional)" pada tahun depan bagi menjamin seni itu terus terpelihara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment