Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
PUTRAJAYA, ISNIN, 30 April, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sudah menjadi modus operandi Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan kepada peserta supaya merusuh dan kemudiannya beliau menghilangkan diri.
Menurut beliau, tindakan itu juga merupakan reputasi Anwar sejak dipecat daripada Kabinet.
"Jadi ini adalah reputasi (Anwar). Kali terakhir berlaku apabila mereka berdemonstrasi semasa saya menjadi Perdana Menteri, dia menghasut rakyat dan kemudian dia menghilangkan diri.
"Itulah modus operandi biasa Anwar, dia menghasut penduduk dan kemudian dia akan lari supaya orang tidak boleh menuduh beliau,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa Anwar memberi arahan kepada peserta demonstrasi Bersih 3.0 supaya merempuh halangan polis dan memasuki Dataran Merdeka.
Bekas Perdana Menteri turut ditanya mengenai tuduhan bahawa polis menyamar untuk mencetuskan keganasan termasuk memukul seorang anggota polis lain.
Dr. Mahathir berkata, semua yang berlaku pada hari perhimpunan haram itu memang sengaja dirancang oleh pembangkang termasuk kejadian kereta polis diterbalikkan dan cara polis itu dipukul.
"Saya tidak tahu sama ada anda mahu percaya atau tidak, saya melihat mereka menterbalikkan kereta polis berkenaan.
"Pada pandangan saya, mereka tidak kelihatan seperti polis (yang menyamar) sebagaimana yang didakwa pembangkang sebaliknya lebih kepada peserta perhimpunan haram itu sendiri," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment