KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 April, 2012: Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya digelar sebagai ketua pemberontak berikutan keadaan huru-hara yang berlaku pada perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu negara Sabtu lalu.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, ketua pembangkang itu merupakan antara individu yang sepatutnya dipersalahkan kerana perhimpunan haram itu yang dijanjikan berlangsung secara aman bertukar menjadi ganas dan liar.
"Bagaimana hendak menjadi Perdana Menteri apabila dia sendiri menghasut orang ramai untuk melanggar peraturan. Kalau dia jadi Perdana Menteri, maknanya semua undang-undang akan langgar.
"Bagi saya Anwar tidak layak lagi jadi ketua pembangkang, malah dia patut dilabelkan sebagai ketua pemberontak kerana sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita peribadinya menjadi Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Jelas Anuar lagi, menerusi rakaman video yang kini tersebar luas di Internet, Anwar dilihat jelas memberi isyarat kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali serta kumpulan peserta Bersih lain untuk merempuh penghadang polis semasa perhimpunan itu.
"Dia sanggup memperkudakan peserta demonstrasi Bersih untuk melakukan huru-hara di ibu negara dan saya percaya dia sanggup melakukan lebih daripada itu semata-mata untuk mendapatkan kuasa," katanya.
Kata Anuar, walaupun keadaan huru-hara tersebut berjaya ditimbulkan, beliau yakin majoriti rakyat di negara itu tidak bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh Anwar itu.
"Perhimpunan itu dari awal lagi sudah gagal kerana mereka hanya dapat menghimpunkan kira-kira 20,000 orang daripada 500,000 orang yang disasarkan.
"Sekarang terpulang kepada kumpulan majoriti senyap rakyat negara ini untuk menilai kerosakan yang dibawa oleh Anwar serta Bersih," katanya.
Sementara itu, bekas Exco Angkatan Muda Keadilan, Abdul Ghani Haroon berkata, Anwar adalah pemimpin yang patut ditolak oleh rakyat kerana Penasihat PKR itu bertindak biadab dan kurang ajar terhadap institusi penting di negara ini.
"Anwar telah berlaku biadab terhadap institusi kehakiman dan polis apabila tetap berdegil mahu meneruskan demonstrasi tersebut. Bagaimana dia mahu memimpin negara sekiranya undang-undang dia tidak hormat dan melanggarnya," katanya.
Beliau memuji tahap profesionalisme pihak polis yang berjaya mengawal keadaan walaupun ramai daripada peserta demonstrasi berlaku biadab dan mencabar pihak berkuasa itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment