My Add

Friday, 18 May 2012

Bangunan utama Pasar Borong Kangar terbakar


*ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bertungkus lumus memadam kebakaran di Pasar Borong Kangar malam tadi. Semua 12 gerai menjual sayur, ikan, ayam dan barangan basah lain musnah terbakar dalam kejadian 4 pagi itu. (berita lanjut) - Foto BERNAMA

KANGAR, JUMAAT, 18 Mei, 2012: Bangunan utama Pasar Borong Kangar yang menempatkan kira-kira 12 peniaga, rosak teruk dalam kebakaran awal hari ini namun tiada kecederaan dilaporkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.04 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

Katanya, jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Kuala Perlis dan Arau dengan dibantu pasukan bomba sukarela Pauh, Kodiang, Kuala Perlis dan Simpang Empat berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit.
Punca kejadian sedang disiasat dan anggaran kerugian sedang ditaksirkan, katanya.

Pasar borong yang beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu itu menempatkan 25 peniaga dan kira-kira 12 daripada mereka beroperasi di dalam bangunan utama itu.

Bagaimanapun, gerai berhampiran bangunan utama pasar borong itu tidak terjejas dalam kejadian itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menerusi laman sosial facebook beliau, mengucapkan takziah kepada peniaga yang menjadi mangsa kebakaran.
Katanya, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan secepat mungkin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment