My Add

Sunday 6 May 2012

Barisan Nasional pakatan berpaksi realiti

KUALA LUMPUR, SABTU, 05 Mei, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) adalah satu pakatan yang berpaksi kepada realiti dan hakikat.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata, hubungan antara parti komponen BN adalah serasi dan berdasarkan kepada falsafah serta amalan dalam BN.

"Kita tidak bersandiwara kepada rakyat, salah satu daripada sandiwara yang besar dilakukan oleh pembangkang ialah bahawa sehingga ke hari ini, walaupun empat tahun sudah berlalu tetapi mereka tak dapat lagi membentuk 'shadow cabinet' dalam pembangkang walaupun mereka uar-uarkan nak wujudkan 'two party system' dalam negara.

"Jadi kalau dalam pembangkang lagi di peringkat nasional mereka gagal untuk berbuat demikian, macam mana mereka nak ada keyakinan bahawa mereka boleh tawan Putrajaya dan mereka boleh mentadbir negara kita dengan jayanya," katanya dalam wawancara eksklusif dengan UMNO Online di sini.

Beliau berkata, UMNO tidak pernah bersikap ekstrem dalam memperjuangkan kehendak orang Melayu dan sering bertolak ansur serta inklusif dengan kaum lain.

"Sebab itulah kita telah berjaya dalam 12 pilihan raya. Walaupun kita mengalami apa yang disifatkan sebagai tsunami politik pada 2008, tapi kita akan mempelajari dan menyedari.

"Kalau ada kesilapan kita mesti akuinya, maknanya mesti muhasabah, yang mana ia telah kita lakukan dan kita mesti berani membuat perubahan dalam parti kita dan kerajaan telah pun membentangkan apa pembaharuan untuk rakyat.

"Sekarang ini kita masuk dalam peringkat di mana segala-gala pembaharuan yang kita telah dan sedang lakukan itu mestilah kita dapat meyakinkan rakyat.

"Maknanya kebolehan kita untuk berkomunikasi dengan berkesan kepada rakyat, supaya rakyat akan sedar bahawa agenda transformasi nasional kita adalah yang terbaik untuk rakyat dan masa depan negara kita," katanya.

Najib juga mengakui bahawa ada angin perubahan ke arah UMNO dan BN, termasuk di negeri yang diperintah pembangkang dan berharap momentum itu dapat diperhebatkan lagi.

"Jadi jangan kita rasa kemenangan dalam tangan kita... tak boleh. Dalam minda kita mesti ada selagi kita merasakan boleh, selagi belum sampai kepada hari mengundi, selagi itu saya ada yang boleh saya lakukan. Masih ada banyak cara yang boleh saya lakukan dan saya mesti melihat daripada semua sudut, maknanya semua pemimpin UMNO mesti bersikap sedemikian," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment