My Add

Sunday 13 May 2012

Batal saja projek lereng bukit

Desak penduduk Sungai Ara kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang

GEORGETOWN, AHAD, 13 Mei, 2012: Lebih 100 penduduk Taman Desaria, Sungai Ara mewakili empat kawasan perumahan di sini mendesak kerajaan negeri membatalkan kelulusan projek pembangunan lereng bukit membabitkan kawasan seluas 32.36 hektar di Lot 14345, Mukim 12, Persiaran Kelicap, dekat sini. 

Rata-rata penduduk di kawasan itu keliru apabila kerajaan negeri masih berdolak-dalik mengenai status projek hartanah mewah membabitkan pembinaan 92 unit banglo dan 508 unit pangsapuri, yang akan dibangunkan di kawasan lereng bukit sekitar kediaman mereka.

Empat kawasan perumahan yang terbabit adalah Raintree Garden A, Raintree Garden B, Sunrise Garden dan Condominium Regency Height.

Jurucakap penduduk, Manuel Nicholas, berkata wakil penduduk sudah menyerahkan notis bantahan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan mengaturkan pertemuan sebanyak dua kali dengan beberapa Exco negeri iaitu Abdul Malik Abul Kassim, Wong Hon Wai dan Chow Kon Yeow, namun masih belum mendapat maklum balas positif. 

"Pada pertemuan kali kedua April lalu, wakil rakyat berkenaan bersetuju mengkaji kembali projek ini. Sejak projek diluluskan tahun lalu, mereka juga cakap perkara serupa. 

"Apa yang mengelirukan, pelan pembangunan fasa pertama sudah dikemukakan pemaju baru-baru ini. Jadi kami berharap projek ini dibatalkan terus tanpa perlu kajian lanjut," katanya kepada pemberita dalam satu siri bantahan aman hari ini. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohideen Abdul Kader menyifatkan tindakan MPPP meluluskan projek berkenaan sebagai meragukan kerana bertentangan dengan Garis Panduan Pembangunan Tanah Bukit. 
Beliau berkata, merujuk kepada Laporan Kesan Alam Sekitar Awal yang dikemukakan pemaju, projek itu akan dibangunkan di kawasan lereng bukit berketinggian 80 meter hingga 280 meter dari aras laut dan tahap kecerunan sebanyak 16 hingga 35 darjah. 

"Ini membuktikan bahawa projek itu dilaksanakan di kawasan berisiko mengalami bencana alam seperti mudah mengalami kemerosotan tanah yang serius apabila diganggu aktiviti pembangunan," katanya. 

Katanya, projek itu turut bercanggah dengan apa yang digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang, yang menekankan untuk mengekal dan memelihara kawasan yang dikenal pasti sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment