My Add

Wednesday 2 May 2012

Beri ruang polis lakukan siasatan

KUALA LUMPUR, RABU, 02 Mei, 2012: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta pihak media dan umum memberikan ruang kepada polis melakukan siasatan berhubung insiden keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara Sabtu lalu.

Beliau berkata, pihak polis menerima banyak laporan termasuk daripada peserta dan wartawan mendakwa dikasari pihak polis ketika pihak berkuasa itu meleraikan perhimpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang yang melanggar larangan mahkamah dengan menceroboh Dataran Merdeka.

Beliau berkata, bukan sahaja orang awam, malah anggota polis turut cedera serta empat kenderaan pasukannya turut dirosakkan dalam perhimpunan itu.

“Kita sedang meneliti pelbagai laporan diberikan kepada polis... jangan mudah membuat kesimpulan sendiri. Ini kerana keadilan dan siasatan polis mengambil masa," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama media di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, polis menggagalkan peserta perhimpunan yang memasuki Dataran Merdeka setelah kumpulan itu melanggar larangan Mahkamah Majistret terhadap kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei.

Larangan itu dikeluarkan setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan dataran itu dijadikan lokasi perhimpunan kecuali acara rasmi peringkat nasional dan turut menawarkan lokasi alternatif tetapi ditolak penganjur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment