*BERBAKAT...NAJIB mencuba membakar makanan tradisional "sata" ketika beramah mesra dengan penduduk Pahang pada majlis bersantai di Taman Gelora di Kuantan, hari ini. - Foto BERNAMA
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
KUANTAN, AHAD, 06 Mei, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh ahli dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) memasang tekad dan semangat baru untuk terus berjuang habis-habisan meletakkan parti di persada kejayaan.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, jika semangat berjuang itu dapat ditanam dalam diri setiap ahli parti, insya-Allah Putrajaya dan kerajaan-kerajaan negeri akan terus menjadi milik BN.
Bercakap di hadapan kira-kira 15,000 orang yang hadir pada Majlis Bersantai Bersama Rakyat di Taman Gelora di sini hari ini, beliau turut menyeru rakyat supaya menyokong kerajaan yang terbukti mampu membangunkan negara dan membela nasib mereka secara keseluruhannya.
"Kita kini berada dalam satu keluarga yang padu, ikatan kita kukuh, daya juang kita kuat dan apabila balik ke tempat masing-masing dengan azam, tekad dan semangat baru kita akan berjuang habis-habisan untuk pastikan BN terus berada di persada kejayaan.
"Insya-Allah, kita akan pastikan hari esok dan akan datang menjadi lebih baik jika kerajaan terus berada di bawah pemerintahan BN yang sudah terbukti kejayaannya sejak dahulu lagi," katanya.
Perdana Menteri berkata, kehidupan rakyat kini juga semakin ceria dengan pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan BN.
Beliau berkata, sehingga kini hampir 4.2 juta isi rumah di seluruh negara yang berpendapatan bawah RM3,000 telah menerima bantuan menerusi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).
"Kerajaan juga telah menaikkan gaji penjawat awam antara tujuh hingga 13 peratus dan inilah antara faedah yang kita berikan kepada rakyat," katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, Majlis Santai Bersama Rakyat amat penting dalam mendekatkan para pemimpin parti dengan masyarakat sekali gus suara rakyat dapat didengar.
Pemilihan Taman Gelora katanya, amat signifikan dengan program itu memandangkan kawasan tersebut merupakan tumpuan orang ramai khususnya warga Kuantan melakukan aktiviti riadah. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment