My Add

Monday 14 May 2012

Bersarapan bersama 10,000 rakyat

KULAIJAYA, AHAD, 13 Mei, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempat meluangkan masa untuk bersarapan bersama kira-kira 10,000 penduduk tempatan selepas program walkabout di sekitar pasar raya TJ Mart Saleng, di sini hari ini.

Beliau yang tiba seawal pukul 7.30 pagi itu memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 20 minit mengelilingi pasar raya tersebut sambil berbual mesra bersama peniaga dan pengunjung di situ.

Najib yang diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman kemudian bergerak ke khemah di pekarangan pasar raya itu selama setengah jam untuk bersarapan bersama rakyat yang menyambut ketibaannya.

Pada masa sama, Najib turut menyampaikan lima hadiah cabutan bertuah berbentuk hamper kepada pengunjung yang hadir sebelum terus ke khemah utama bagi menyambut keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2012.

Mereka yang ditemui rata-rata teruja dapat bertemu Najib dan menzahirkan ucapan terima kasih atas kunjungan para kenamaan tersebut.

Jumi Ahmad, 54, dari Felda Taib Andak berkata, dia bangga atas kunjungan Perdana Menteri buat pertama kalinya ke kawasan Saleng sambil bersarapan bersama penduduk di situ.

Bagi Toh Sui Min, 83, pula yang berpeluang duduk bersebelahan Perdana Menteri meluahkan rasa terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh pemimpin itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment