My Add

Monday 28 May 2012

‘Bukti DAP parti rasis’

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Mei, 2012: DAP digesa supaya tidak terus memberi harapan palsu kepada masyarakat Cina khususnya yang menjanjikan Perdana Menteri bakal dilantik daripada kalangan orang bukan Melayu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, permainan politik DAP itu sebenarnya tidak bertanggungjawab kepada masyarakat Cina dan juga membuktikan mereka sebuah parti yang rasis.

“Sebelum itu saya mahu DAP jawab, jika pakatan pembangkang menang adakah orang Cina akan dilantik menjadi Menteri Kewangan, Menteri Pelajaran, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan?

“Ini jelas polemik yang ditimbulkan oleh parti rasis ini yang hanya untuk meraih undi masyarakat Cina walaupun sedar perkara itu tidak mampu dicapai,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Tengahari bersama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anjuran MCA Wangsa Maju di sini hari ini.

Tegas beliau, DAP yang 99 peratusnya terdiri orang Cina dilihat semakin berubah kerana terlalu gilakan kuasa.

“Sebab itu mereka terpaksa menanggung malu kerana terpaksa berbaik dengan Pas hanya untuk meraih sokongan orang Melayu.

“DAP juga menganggap orang Cina tidak ada pilihan selain mengundi mereka sedangkan, mereka lupa MCA telah lama terbukti berjaya memajukan negara dengan perjuangan bersama Barisan Nasional (BN) sejak dulu lagi," katanya.

Sementara itu, Soi Lek turut menyifatkan parti-parti dalam pembangkang sekarang tidak lagi demokratik berbanding BN.

“Lihat DAP yang Lim Kit Siang memegang jawatan penasihat dan anaknya, Lim Guan Eng pula menjadi Setiausaha Agung yang tidak perlu bertanding untuk mendapat jawatan itu, ia samalah seperti jawatan Presiden dan Mursyidul Am dalam Pas.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) paling hebat, mesyuarat tertinggi parti boleh diadakan di dalam rumah sahaja sebab parti itu diketuai oleh keluarga dengan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden dan anaknya pula Naib Presiden, Nurul Izzah," katanya sinis. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment