My Add

Monday 14 May 2012

Butler ganti Mat Zan latih skuad Terengganu

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 14 Mei, 2012: Teka-teki siapa ketua jurulatih bola sepak Terengganu yang baru akhirnya terjawab hari ini apabila Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan Peter Butler, akan mengambil alih tugas itu daripada Mat Zan Mat Aris, mulai 1 Jun ini.

Ahmad berkata bekas jurulatih Kelantan dan Persiba Balikpapan, Indonesia itu akan menggantikan Mat Zan yang akan menamatkan kontrak bersama Skuad Penyu pada tarikh tersebut.

"Saya berharap pasukan Terengganu akan berubah dan lebih cemerlang di bawah bimbingan jurulatih import itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah.

Sebelum ini, Mat Zan yang dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu bagi menggantikan Irfan Bakti musim ini, diarahkan bercuti rehat selama dua minggu selepas juara Piala FA 2011 itu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir piala berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan prestasi Terengganu merosot sejak akhir-akhir ini ialah kerana pasukan itu terlibat dengan banyak kejohanan termasuk Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sehubungan itu, beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mengkaji semula jadual pertandingan dalam liga tempatan supaya pasukan yang terlibat pada kejohanan berkenaan dapat memberikan aksi terbaik sekaligus dapat menaikkan imej negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment