My Add

Monday 14 May 2012

Dana RM158 juta untuk YPPB mencukupi

KOTA BAHARU, ISNIN, 14 Mei, 2012: Dana sebanyak RM158 juta yang diperoleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) bagi membangunkan Program Peneraju Tunas Potensi yang dilancarkan pada Mac lalu adalah mencukupi bagi membiayai biasiswa kepada seramai 225 pelajar yang terpilih ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata sumbangan dana daripada syarikat-syarikat korporat dan individu itu telah memberi peluang kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melanjutkan pelajaran ke universiti.

"Setakat ini dana yang ada adalah mencukupi. Tahun hadapan jika ada dana yang lebih besar mungkin jumlah pelajar akan ditingkatkan lagi.

"Kita menawarkan nilai biasiswa antara RM100,000 hingga RM300,000 kepada seorang bergantung kepada kursus yang mereka ambil seperti kejuruteraan atau perubatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Aspirasi 2012: Program Peneraju Tunas Potensi anjuran YPPB di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Tajuddin Atan dan Ketua Eksekutif YPPB Raja Azura Raja Mahayuddin.

Pada majlis itu juga Nor Mohamed turut menyerahkan surat tawaran biasiswa kepada 37 pelajar lepasan SPM dan STPM seluruh Pantai Timur.

Nor Mohamed berkata kerajaan akan terus mengambil langkah untuk membantu golongan yang memerlukan bagi memastikan semua pelajar menikmati peluang untuk menyerlah dan menjadi insan cemerlang.

"Program Penaraju Tunas Potensi ini menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar SPM dan STPM bermula pada tahun ini.

Semenjak diumumkan hampir 8,000 pelajar yang berkelayakan telah membuat permohonan untuk menjadi pemegang biasiswa," katanya.

Beliau berkata pelajar yang terpilih itu akan diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di institusi terkemuka di dalam dan luar negara selain memberikan bimbingan dalam memupuk nilai-nilai murni, membina kemahiran serta memperkasa keyakinan diri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment