My Add

Monday 14 May 2012

Ekonomi negara di tahap terbaik hasil kebijaksanaan kerajaan

KOTA BAHRU, ISNIN, 14 Mei, 2012: Keadaan ekonomi negara yang berada di tahap terbaik ketika ini adalah hasil kebijaksanaan kerajaan yang sejak dari awal lagi tidak bergantung kepada mana-mana pihak untuk berjaya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata jika dahulu negara bergantung kepada hasil komoditi bijih timah dan getah yang dijual kepada negara maju, kini hasil itu telah dipelbagaikan dan tidak lagi tertumpu kepada negara-negara berkenaan.

"Zaman itu sudah berlalu. Sekarang kita adalah negara industri dan sumber ekonomi kita sudah dipelbagaikan serta tumpuan kita bukan sahaja kepada negara lain tetapi juga pada negara China, India dan Arab yang kini kadar pertumbuhan ekonomi negara mereka adalah tinggi iaitu sekitar 7.0 peratus.

"Kalau kita tertumpu kepada negara Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun sahaja, sudah tentu negara akan merasa kesan jika keadaan ekonomi mereka mengalami masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Aspirasi 2012: Program Peneraju Tunas Potensi anjuran Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan dan Ketua Eksekutif YPPB, Raja Azura Raja Mahayuddin. 

Nor Mohamed yakin kadar pertumbuhan ekonomi negara boleh mencapai sehingga kadar 5.0 peratus pada tahun ini jika semua pihak bersama-sama kerajaan berusaha mencapai tujuan itu. 

"Kita juga tidak terlalu bergantung kepada hasil eksport semata-mata tetapi juga faktor domestik bagi penjanaan ekonomi negara kita ketika ini," katanya. 

Beliau berkata kepakaran negara dalam bidang prasarana juga telah memberi peluang untuk negara mengeksport kepakaran itu kepada negara lain seperti pembinaan lebuh raya dan sebagainya. 

"Banyak kontrak yang wujud di negara lain dan ini nampaknya memberi peluang untuk negara terus maju," katanya. 

Beliau juga menafikan negara tidak mempunyai dana yang cukup untuk membangunkan negara pada masa depan dan sebagai bukti hasil negara melalui kutipan cukai telah mencecah kira-kira RM26 bilion pada tahun lalu. 

"Siapa yang cakap begitu. Kita banyak tabungan untuk projek yang perlu dan juga untuk pastikan rakyat tidak terjejas dengan kenaikan harga melalui pemberian subsidi," katanya. 

Beliau juga kesal dengan tindakan individu yang sanggup memburukkan negara sendiri di negara luar dan menyifatkan individu itu sebagai tidak patriotik kepada negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment