My Add

Tuesday 22 May 2012

Gambar dari tujuh lokasi tentukan peserta perhimpunan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Mei, 2012: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengumpulkan gambar-gambar dari tujuh lokasi sekitar bandar raya ini dan menggunakan sistem memblok foto untuk memutuskan anggaran 22,000 peserta pada perhimpunan 28 April lalu.

Semasa memberi penjelasan teknik yang digunakan, Pengurus Besar Bernama, Datuk Hasnul Hassan berkata, ia menggabungkan perisian grafik mudah yang mana gambar-gambar diperbesar sebelum petak dimasukkan untuk memudahkan pengiraan bilangan orang.

Beliau berkata, 10 peratus margin kesilapan ditambah kepada bilangan peserta untuk menggantikan mereka yang mungkin tersorok atau dilindungi di dalam gambar-gambar itu.

Katanya, anggaran jumlah, tidak termasuk anggota keselamatan dan polis yang bertugas.

"Gambar-gambar itu diambil dari pukul 11.53 pagi hingga 12.52 tengah hari pada 28 April oleh jurufoto-jurufoto kami yang berada di dalam helikopter polis.

"Gambar-gambar peserta diambil sebelum mereka mula bergerak ke Dataran Merdeka. Kemudian gambar-gambar itu diperbesar sebesar saiz skrin komputer, iaitu tujuh inci kali tujuh inci, sehingga bilangan orang boleh dikira," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-44 agensi berita itu di Wisma Bernama di sini hari ini.

Hasnul berkata, gambar-gambar itu diambil dari tujuh lokasi iaitu Jalan Tun Perak, simpang Jalan Tun Perak/Jalan Silang; simpang Jalan Sultan/Jalan Jebat; kawasan Pasar Seni; Jalan Pasar Besar; Jalan Kinabalu dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment