My Add

Saturday 12 May 2012

Gelombang Merah landa Stadium Nasional


*GELOMBANG MERAH...Ahli UMNO membajiri Stadium Nasional, Bukit Jalil di Kuala Lumpur sempena sambutan ulang tahun ke-66 UMNO malam ini. Kira-kira 100 ribu ahli parti dari seluruh negara hadir pada sambutan itu untuk mendengar amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Farizul Hafiz Awang


KUALA LUMPUR, JUMAAT, 11 Mei, 2012: Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini dilanda "gelombang merah" apabila lebih 100,000 ahli UMNO berpakaian merah berhimpun bagi sambutan ulang tahun ke-66 UMNO yang menjadi perhimpunan terbesar parti itu sejak penubuhannya pada 1946. 

Sejak tengah hari, "gelombang merah" sudah dilihat dari luar stadium menuju ke gelanggang sambutan bagi sama-sama menyertai pemimpin tertinggi parti yang sudah lama memperjuangkan nasib rakyat.

Kira-kira 2,800 buah bas dari seluruh pelosok negara yang membawa ahli UMNO mula tiba sejak pagi ini untuk mendengar sendiri amanat Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Acara besar-besaran yang julung kali diadakan itu turut diserikan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang tiba di stadium itu diarak masuk dengan menaiki "buggy" sambil diiringi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut sama menyaksikan detik bersejarah perhimpunan gergasi UMNO malam ini adalah pemimpin parti politik luar negara termasuk dari China, Singapura dan Sri Lanka. 

Acara sambutan ulang tahun itu yang bertemakan "Pembela Rakyat" dimulakan dengan larian bendera UMNO, "Sang Saka Bangsa" sejak 1 Mei lalu yang diarak dari utara dan selatan Semenanjung serta Sabah. 

Bendera itu yang tiba di Ibu Pejabat UMNO Selangor kelmarin, disimpan sehari sebelum diserahkan kepada UMNO Wilayah Persekutuan pada hari ini untuk diarak ke destinasi terakhir larian di Stadium Nasional.

Selangor dipilih sebagai pusat berakhirnya larian bendera dari empat penjuru iaitu Perlis, Sabah, Kelantan dan Johor kerana negeri tersebut kini tapak kebangkitan semula UMNO dan BN di seluruh negara.

Kira-kira 500,000 ahli UMNO seluruh negara mengambil bahagian dalam larian bendera itu.

Bendera itu diserahkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang diiringi Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada Najib. 

Stadium Nasional Bukit Jalil seterusnya bergema dengan nyanyian lagu UMNO, "Bersatu Bersetia Berkhidmat" serentak dengan upacara menaikkan bendera parti, "Sang Saka Bangsa".

Malam ini juga menyaksikan Najib mengumumkan anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub, bagi kategori lelaki dan ahli akademik, penulis terkenal dan bekas wartawan, Khalidah Adibah Amin, bagi kategori wanita.

Acara malam ini diakhiri dengan upacara memotong pulut kuning dan persembahan bunga api.

Semalam, satu majlis tahlil dan bacaan Yasin serta doa kesyukuran diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra yang dihadiri Najib serta ahli UMNo lain.

Sambutan ulang tahun ke-66 UMNO akan diteruskan hingga Ahad ini di sini dengan pelbagai acara menarik termasuk karnival kerjaya, sambutan Hari Ibu, seminar motivasi, futsal, paintball, konsert dan pameran robotik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment