My Add

Thursday 10 May 2012

Had muflis dinaikkan RM50,000

KUALA LUMPUR, RABU, 09 Mei, 2012: Had minimum jumlah hutang yang gagal dibayar bagi membolehkan petisyen kebankrapan dibuat bakal ditingkatkan daripada RM30,000 menjadi RM50,000.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (gambar) berkata, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi sedang berusaha memperbaharui perundangan berkaitan insolvensi sedia ada termasuk meningkatkan had minimum jumlah hutang gagal dibayar yang membolehkan petisyen kebankrapan dibuat.

“Berdasarkan rekod, Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh lima tahun dari 2007 hingga Mac 2012 telah menguruskan 85,175 kes kebankrapan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,374 kes atau 23.9 peratus terdiri daripada pekerja swasta, 10, 203 kes melibatkan peniaga, 7,134 kes pekerja sendiri, 2,482 golongan profesional, 2,345 sektor awam, 2,300 tidak bekerja, 535 pesara kerajaan, 128 hiburan, 139 pelajar dan 36 ahli sukan manakala 39,499 kes pula melibatkan pekerjaan-pekerjaan lain atau tiada maklumat," katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Syed Ibrahim Kader dan Datuk Boon Som Inong yang membangkitkan isu kebankrapan.

Tegas Vui Keong, pihaknya mendapati terdapat banyak punca atau sebab menyebabkan seseorang individu menjadi muflis.

“Punca utama melibatkan sewa beli kenderaan yang melibatkan 21,796 individu atau 25.59 peratus, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan yang masing- masing melibatkan 12,547 orang (14.73 peratus) dan 12,098 orang (14.20 peratus).

“Lain-lain kes pula melibatkan pinjaman perniagaan 9,865 (1158), penjamin korporat 4,076 kes (4.79 peratus), penjamin sosial 4,507 (5.29 peratus), hutang kad kredit 3,523 (4.14 peratus), hutang cukai pendapatan 775 (0.91 peratus), pinjaman pelajaran 161 ( 0.19 peratus) dan lain-lain pula sebanyak 15,827 kes (18.58 peratus)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment