My Add

Sunday 20 May 2012

Halang program Irshad Manji

Irshad Manji
JERAI, SABTU, 19 Mei, 201: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan sebarang program yang melibatkan seorang pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Irshad Manji diadakan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan meminta semua pihak menghalang sebarang program membabitkan wanita tersebut.

Katanya, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati Irshad seorang yang berfahaman liberalisme, pluralisme dan feminisme selain mendukung hak LGBT di peringkat antarabangsa.

"Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam telah bertindak menghalang satu program Irshad di sebuah kolej di Bandar Sunway.

"Usaha itu akan digerakkan ke seluruh negara kerana kerajaan amat memandang serius terhadap ideologi yang dibawa oleh Irshad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Ulama dan Umarak Kedah 2012 anjuran Jakim di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Noh Dahya.

Menurut Jamil Khir, Irshad datang ke negara ini bagi tujuan melancarkan bukunya bertajukIslam, Liberty and Love yang dipenuhi unsur penghinaan terhadap Islam serta perjuangannya dalam mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian.

"Ideologi tersebut jelas bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam sebagai Agama Persekutuan), Akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat," katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut dianggotai Malaysia menolak orientasi seksual yang mendukung LGBT seperti yang ditegaskan dalam Persidangan Sesi Ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Mac lalu di Geneva, Switzerland.

"Jadi, semua umat Islam perlu berhati-hati dan sentiasa peka dengan pelbagai ideologi yang cuba diasak oleh kumpulan dan individu tersebut untuk mempengaruhi mereka," katanya.

Irshad, 43, penulis warga Kanada pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk The Trouble With Islam Today yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie.

Irshad Manji dilahirkan di Uganda pada 1968. Dia seorang berfahaman Islam liberal yang memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Dia merupakan rakyat Kanada. Memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah intelektual dari Universiti of British Columbia.

Irshad secara terbuka mengakui dirinya seorang lesbian. Dia juga mendakwa, agama Islam menerima perbuatan seks songsang serta meraikan perbezaan orientasi seks yang pelbagai.

Projek Ijtihad, sebuah pertubuhan yang diasaskannya juga bertujuan mempromosikan pemikiran kritis, perbezaan pendapat serta perdebatan tentang ajaran Islam.

Pertubuhan itu turut didokong golongan reformis Islam dan penganut-penganut agama lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment