My Add

Monday 28 May 2012

Himpunan Jutaan Belia 2012 rekod kehadiran 2 juta

PUTRAJAYA, ISNIN, 28 Mei, 2012: Himpunan Jutaan Belia 2012, yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara menutup tirainya semalam dengan mencipta rekod tersendiri iaitu kehadiran dua juta belia sepanjang karnival lima hari itu.

Ia secara tidak langsung membuktikan usaha kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan untuk mendekati belia di negara ini berada di landasan yang tepat.

Bertemakan “Hari Ini Lebih Baik Berbanding Hari Esok”, 500 aktiviti yang membabitkan 38 segmen dengan 1,000 persembahan diadakan sejak Rabu lalu, memperlihatkan pusat pentadbiran negara seolah-olah ditawan oleh golongan muda.

Kemuncak sambutan Hari Belia Negara tahun ini ialah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengunjungi ke tapak-tapak karnival dan beramah mesra dengan belia, semalam.

Penganjuran Himpunan Jutaan Belia ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi asing di Malaysia apabila mereka turut mengadakan tinjauan ke tapak-tapak karnival semalam.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpuas hati dengan sambutan Hari Belia Negara tahun ini dan akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet agar penganjuran Himpunan Jutaan Belia terus diadakan di Putrajaya, yang merupakan bandar mesra belia, pada tahun-tahun akan datang.

“Penghimpunan kali ini jauh lebih meriah dan unik cara sambutannya. Himpunan kali ini adalah karnival terbesar negara dengan pelbagai kreativiti golongan muda.

Karnival yang diyakini bakal menjadi 10 karnival terbesar di dunia itu turut dilihat dapat merapatkan jurang antara pemimpin negara pada masa ini dengan golongan pemimpin negara pada masa akan datang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein misalnya, sanggup duduk bersila bersama-sama golongan muda semasa merasmikan Y-Avenue, salah satu program pada sambutan itu.

Meskipun Himpunan Jutaan Belia tahun ini ‘tercemar’ apabila satu kemalangan berlaku ketika acara perlumbaan drag di Lebuh Wadi Ehsan di Presint 19 di sini tengah malam tadi, Ahmad Shabery berharap kejadian itu tidak dipolitikkan.

Seramai 17 penonton perlumbaan drag cedera termasuk empat yang parah apabila sebuah kereta perlumbaan terbabas semasa sesi ujian sebelum melanggar penonton yang berada di luar kawasan dibenarkan.

Mangsa yang kini berada di Hospital Putrajaya untuk mendapat rawatan lanjut dan polis sedang menjalani siasatan.

Ahmad Shabery berkata kemalangan itu tidak harus menenggelamkan semangat para belia untuk bersukan, bergiat dan melibatkan diri dalam aktiviti sihat. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment