My Add

Thursday 17 May 2012

IEM sedia bantu siasat punca letupan loji

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Institut Jurutera Malaysia (IEM) menawarkan kepakaran teknikal dan nasihat bebas untuk menyiasat punca letupan di Loji Pemprosesan Gas Petronas di Kerteh, Terengganu pada 10 Mei lepas.

IEM juga menyatakan kesediaannya mengkaji langkah-langkah susulan yang diperlukan untuk mencegah kemalangan serupa berulang.

"Punca letupan di loji itu sedang disiasat pihak berkuasa yang berkaitan dan hasilnya belum diketahui, tetapi penemuan itu pasti akan menjadi tidak ternilai dalam membantu untuk mengenal pasti penyelesaian yang mungkin diperlukan bagi mengurangkan kemalangan pada masa akan datang," kata IEM dalam kenyataan di sini, hari ini.

Letupan di sebuah pusat pemprosesan gas di Loji Pemprosesan Gas (GPP) dalam kawasan Kompleks A milik Petronas di Kerteh, Kemaman itu meyebabkan seorang pekerja kontrak, Rosli Mansor, 31, tebunuh dan jurutera Mohd Zamri Fitri Mat Noor, 25, dari Padang Pulut, Dungun, cedera parah dengan 90 peratus bahagian muka, tangan dan badannya melecur.

IEM berpendapat kemalangan kejuruteraan itu boleh dielak jika organisasi mematuhi standard keselamatan tertinggi.

"Standard keselamatan yang ketat dan penempatan kakitangan yang berkelayakan dapat mengurangkan risiko-risiko ini. Apabila standard terjejas, sama ada disebabkan kejahilan atau sikap acuh tak acuh, masalah dan bahaya akan timbul.

"Walaupun terdapat piawaian dan peraturan ditempatkan bagi mentadbir keselamatan, IEM berpendapat masih kurang kefahaman dan komitmen dalam cara peraturan itu dilaksanakan.

"Tindakan susulan sering diabaikan dalam menyelesaikan masalah kejuruteraan mengikut prosedur yang relevan, yang akhirnya menyebabkan malapetaka," kata badan profesional itu.

Berikutan itu, tegas IEM, organisasi terbabit perlu sentiasa memastikan bahawa pemeriksaan teliti sentiasa dijalankan untuk memahami tugas yang sedia ada, untuk membuat anggaran yang tepat mengenai risiko yang terlibat dalam melaksanakan tugas dan langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan risiko. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment