My Add

Thursday 17 May 2012

Khidmat Tun Mohd Khalil disambung untuk penggal ketiga

MELAKA TENGAH, KHAMIS, 17 Mei, 2012:: Khidmat Tun Mohd Khalil Yaakob sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam disambung bagi penggal ketiga berturut-berturut, berkuatkuasa 1 Jun depan, selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang mengesahkan perkembangan itu di sini, berkata Mohd Khalil, 75, akan menerima surat watikah pelantikan daripada Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara pada tarikh berkenaan.

Katanya, majlis pelantikan kemudian akan diadakan di Dewan Seri Negeri, di Ayer Keroh, dekat sini, sehari selepas itu. Khidmat Mohd Khalil bagi penggal kedua, dijadual berakhir pada 31 Mei ini.

“Saya bagi pihak rakyat Melaka menjunjung kasih kepada Tuanku Abdul Halim atas perkenan Baginda melantik semula Tun Mohd Khalil sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi penggal ketiga, berkuatkuasa 1 Jun ini. 

“Ucapan terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, atas sokongan beliau bagi pelantikan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang Recron Malaysia (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Tangga Batu, dekat sini, hari ini. 

Mohd Khalil yang dilahirkan di Kuantan, Pahang pada 29 Disember 1937, dilantik kali pertama sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 4 Jun 2004, sebelum khidmatnya disambung semula empat tahun kemudian bagi penggal kedua. 

Sebelum menjawat jawatan itu, beliau pernah menjadi Menteri Besar Pahang dari 14 Ogos 1986 sehingga 22 Mei 1999, selain Setiausaha Agung UMNO (22 Mei 1999 sehingga 31 Mei 2004) dan Menteri Penerangan.

Mengulas lanjut, Mohd Ali melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas pelantikan semula itu selepas kepimpinan Mohd Khalil terbukti berjaya membawa keamanan dan kemajuan kepada Melaka. 

"Sebagai mewakili rakyat Melaka, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tun Mohd Khalil kerana menjalankan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri dengan sebaiknya untuk seluruh rakyat Melaka,” katanya

No comments:

Post a Comment