My Add

Tuesday, 1 May 2012

Jangan berselindung di sebalik keganasan: Najib

PUTRAJAYA, ISNIN, 30 April, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta golongan tertentu supaya jangan hanya berani berselindung di sebalik keganasan gerombolan, tetapi bersedia untuk dihakimi rakyat berdasarkan wawasan, idea, dasar, program dan rekod perkhidmatan yang ada.

Perdana Menteri berkata, tindakan golongan tersebut menimbulkan pelbagai keraguan di kalangan rakyat hanya mencerminkan ketakutan mereka untuk menyerahkan nasib bagi ditentukan rakyat apabila tiba masanya kelak.

''Menyedari bahawa mereka tidak mendapat sokongan rakyat, maka mereka cuba pula untuk menimbulkan keraguan terhadap wibawa institusi-institusi yang dipersoalkan.

''Fakta bahawa mereka juga telah mendapat kejayaan di bawah kerangka selia institusi-institusi ini tidak pula ditimbulkan,'' katanya ketika berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta di sini malam ini.

Menurut Perdana Menteri, bahayanya apabila wibawa institusi-institusi Perlembagaan diragui dan golongan tersebut berjaya mencapai matlamat politik yang diimpikan, kejayaan mereka juga bakal dipersoalkan dan diragui.

''Janganlah kerana singkat fikiran, kita mengikut hawa nafsu dan sanggup mengorbankan masa depan negara dan warganya. Jangan sekali-kali menjadi perosak kepada masa depan anak-anak Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya oleh dunia bukan saja kerana pendapatan per kapita yang sederhana tinggi, tetapi juga disebabkan taraf dan kualiti kehidupan yang amat baik.

Semua itu katanya, berjaya dicapai kerana perancangan rapi dan pelaksanaan berkesan oleh kerajaan dan didorong pula keadaan negara yang aman damai dan kestabilan politik.

Malah katanya, sejak merdeka, sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan telah menjadi teras utama pemerintahan negara.

''Berpandukan falsafah persekutuan, prinsip ketertinggian perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, kehendak rakyat dicerminkan melalui peti undi. Pembaharuan dan perubahan telah berlaku secara tertib dan aman.

''Kita mahu keadaan ini berterusan, walau parti atau gabungan parti mana pun yang diamanahkan oleh rakyat untuk membentuk kerajaan,'' katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak semua warga pekerja supaya bersama-sama menggembleng tenaga dan idea bagi mencipta Malaysia yang lebih baik di mana generasi akan datang dapat membina kehidupan yang lebih baik.

''Marilah kita mencipta sebuah Malaysia di mana gaji serta upah yang adil akan diberi untuk sebarang pekerjaan, di mana eksploitasi dan ekstremisme perindustrian merupakan perkara yang lapuk.

''Pengumuman gaji minimum pada malam ini, ialah pelengkap kepada Dasar Transformasi Nasional, ke arah mencapai wawasan sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment