My Add

Wednesday 9 May 2012

JTK buru majikan tidak ambil insurans untuk pekerja asing

KUALA LUMPUR, RABU, 09 Mei, 2012: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan menjalankan operasi mulai Isnin bagi menjejaki majikan yang gagal mengambil perlindungan insurans untuk pekerja asing mereka. 

JTK, dalam kenyataan hari ini, menyatakan setiap majikan yang menggaji pekerja asing diwajibkan mengambil insurans di bawah Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA) mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pampasan Pekerja 1952.

"Majikan yang gagal berbuat demikian adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26 (6) Akta itu dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.

Menurut JTK, sejumlah 1.8 juta pekerja asing didaftar di negara ini tetapi hanya 1.2 juta pekerja diberi perlindungan insurans di bawah akta itu. 

"Ini bermakna masih terdapat lebih 600,000 pekerja asing yang tidak dilindungi insurans di bawah akta itu," menurut kenyataan itu. 

Sehubungan itu, JTK meminta majikan yang belum mengambil insurans pampasan pekerja supaya segera mengambil insurans itu dari 28 panel penanggung insurans yang sudah ditetapkan. 

"Tindakan pendakwaan akan dilaksanakan terhadap mana-mana majikan enggan mengambil perlindungan insurans untuk pekerja asing mereka," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment