SHAH ALAM, JUMAAT, 18 Mei, 2012: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan untuk tidak membenarkan penulis buku 'ALLAH Kebebasan dan Cinta’, Irshad Manji meneruskan programnya di sini serta meninggalkan Malaysia dengan kadar segera.
Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, secara terang Irshad Manji mengaku sebagai seorang lesbian dan beliau cuba mengetengahkan pendirian liberal kepada masyarakat Malaysia.
“Ia juga seolah-olah cuba menjuarai isu kebebasan seks dan moral dan mahu menjadikan ia norma masyarakat Malaysia walaupun jelas bertentangan dengan agama Islam.
“Tulisan-tulisan Irshad Manji banyak yang mengelirukan dan tersasar dari Hukum Syarak. Malah acap kali dilihat sebagai mempertikai atau menghina agama Islam,” katanya.
Irshad Manji dijadual berada di sebuah universiti pada jam 1 tengah hari semalam bagi menyampaikan ceramah bertajuk, Moral Courage: Creating Space for Islam & Democracy. Bagaimanapun dibatalkan pada saat akhir ekoran protes banyak pihak dan larangan daripada pihak berkuasa.
Menurut Zainul Rijal, sebelum ini Irshad Manji yang pernah menulis buku ‘The Trouble with Islam Today‘ cuba memberi ceramah di sebuah institut pengajian tinggi awam tetapi gagal dan kehadirannya di Indonesia baru-baru ini juga mendapat tentangan hebat.
“Selain tidak menghormati waktu solat Jumaat bagi orang Islam Irshad Manji dengan gahnya mengatakan lelaki Islam juga dialu-alukan hadir kerana solat Jumaat tersebut boleh dibuat bila-bila masa sahaja dan ia merupakan ciptaan manusia sebagaimana terdapat di dalam twitter beliau.
“Ia memberi gambaran bahawa program beliau di Universiti Monash itu lebih penting daripada solat Jumaat,” katanya.
Zainul Rijal berkata, perbuatan penulis yang berasal dari Kanada itu jelas bertentangan dengan norma dan budaya Malaysia dan kehadirannya adalah tidak dialu-alukan.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) didesak untuk mengkaji buku yang ditulis Irshad Manji ini sama ada perlu diharamkan atau tidak. Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap segala usaha yang menghakis kedaulatan dan kesucian Islam di Malaysia.
“Sejak kebelakangan ini pelbagai pihak sudah berani mengabaikan isu moral dan akhlak dan menganjurkan kebebasan diri secara mutlak. Hal yang sedemikian perlu diperbetulkan oleh semua pihak.
“PPMM juga mengajak para ulama menyediakan hujah menyanggah tulisan-tulisan Irshad Manji secara ilmiah agar pembaca buku itu tidak akan terkeliru dengan tulisannya dan diberi penerangan secukupnya mengenai keindahan agama Islam,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim ketika dihubungi memberitahu pihaknya masih belum menerima sebarang aduan bagaimanapun sedang meneliti perkara itu. - SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment