My Add

Sunday 27 May 2012

Koperasi baru ditawar pinjaman sehingga RM80,000

BERA, AHAD, 27 Mei, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menawarkan geran dan pinjaman mudah sehingga RM80,000 kepada koperasi baru di negara ini. 

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata koperasi baru yang ditubuhkan secara automatik ditawarkan geran sebanyak RM30,000 berdasarkan kepada projeknya yang dimajukan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pada masa sama, beliau berkata koperasi itu diberikan keistimewaan membuat pinjaman dengan kementerian sebanyak RM50,000 tanpa cagaran berbanding pinjaman melalui bank perdagangan.

"Ini bermakna mana-mana koperasi yang baru ditubuhkan sudah mempunyai dana sebanyak RM80,000 untuk menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi untuk ahli. 

"Justeru masyarakat kampung di luar bandar perlu bersepakat untuk menubuhkan koperasi seperti kebanyakan yang wujud di tanah rancangan FELDA, sekolah dan lain-lain," katanya di sini, hari ini. 

Katanya, kerajaan berusaha membantu rakyat meningkatkan taraf hidup melalui penubuhan koperasi kerana banyak peluang perniagaan yang disediakan kerajaan kepada mereka. 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, melalui keuntungan perniagaan dan dividen yang diperoleh ia dapat memberi manfaat kepada penduduk sekali gus mendorong ahli menyediakan modal bagi kemajuan koperasi berkenaan. 

Katanya, sehingga 25 Mei lalu sebanyak 9,460 koperasi ditubuhkan di seluruh negara dengan sebahagian besar ahlinya terdiri daripada orang Melayu. 

Beliau berkata, gerakan koperasi bukan saja boleh menjalankan pelbagai perniagaan malah membantu kerajaan meningkatkan ekonomi negara. 

"Di beberapa negara seperti Belanda, gerakan koperasi negara terbabit menjalankan perniagaan dan maju serta membantu kerajaan meningkatkan hasil dan ekonomi negara mereka. 

"Di Malaysia, tidak mustahil koperasi akan menjadi lebih maju dan berdaya saing serta membantu meningkatkan hasil dan ekonomi jika dikendalikan secara lebih sistematik dan menepati sasaran," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment