My Add

Sunday 27 May 2012

Pil kuda dirampas, sindiket dadah ditumpaskan

KOTA BHARU, AHA, 27 Mei, 2012: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merampas 4,092 biji pil kuda bernilai RM143,220 dalam serbuan ke sebuah rumah di Kampung Mentangga, Bukit Panau, Tanah Merah, Jumaat lepas.

Ketua JSJN Kelantan, Supt Amran Ramli berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 6.50 pagi itu, pihaknya menahan dua lelaki dipercayai ketua sindiket dikenali ”2S” yang aktif mengedarkan dadah di sekitar jajahan Tanah Merah, Pasir Mas, Kuala Krai, Gua Musang dan Kota Bharu.

"Pihak kami berjaya merampas 100 biji pil, disyaki jenis pil kuda di atas rak dalam sebuah bilik di rumah tersebut, dan menemui 3,992 pil lagi dadah jenis sama yang diletakkan dalam peti sejuk.

"Antara barangan lain yang disita ialah wang tunai berjumlah RM25,400, sebuah Perodua Kancil dan motosikal jenis Yamaha 125Z. Jumlah keseluruhan sitaan kira-kira RM300,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Amran berkata, pihaknya menahan dua bersaudara itu masing-masing berumur 24 dan 22 tahun bekerja sebagai penjual ayam proses dan mekanik motosikal.

Amran berkata, tangkapan dan rampasan itu adalah lanjutan Operasi Jala yang bermula pada Disember tahun lalu membawa kepada tertangkapnya tiga anggota sindiket terbabit pada Februari lepas. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment