My Add

Sunday 27 May 2012

Kunjungan Najib meriah sambutan Hari Gawai dan Keamatan

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Mei, 2012: Perayaan Tadau Kaamatan dan Gawai Dayak tahun ini menjadi lebih bermakna apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual berkunjung ke kawasan pedalamaan Sabah dan Sarawak pada awal bulan depan untuk menyaksikan sambutannya. 

Seperti kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, amat jarang bagi perdana menteri melawat dua rumah panjang di kawasan pedalaman yang didiami masyarakat Iban pada hari yang sama, lebih-lebih lagi pada hari ketiga sambutan Gawai Dayak.

"Ramai orang Iban tidak sabar untuk datang dan berjabat tangan dengan perdana menteri. Rakyat bersyukur kerana pemimpin negara sudi melawat mereka ketika sambutan itu. Jarang benar bagi penduduk rumah panjang berpeluang berjumpa beliau," katanya.

Najib dijadual melakukan lawatan "Gawai Dayak" selama sehari ke kawasan kediaman masyarakat Iban di daerah pedalaman Betong, Pakan dan Julau pada 3 Jun ini untuk menyaksikan pesta menuai yang diadakan setiap tahun oleh masyarakat Dayak. 

Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi 'Tuai Pengabang' atau ketua pelawat apabila beliau melawat Betong, sebelum menuju ke Rh George Chungut, Nanga Nansang, yang mempunyai 34 unit kediaman di Pakan berhampiran Sarikei, untuk menyaksikan sambutan itu. 

Selepas itu, beliau dijadual menghadiri sambutan serupa di Rh Rumah Jana anak Saweng di Matop, Julau. 

Acara di Betong dianjurkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menganjurkan acara di Rh Rumah George Chungut, yang juga rumah panjang presidennya Tan Sri William Mawan Ikom. 

Sambutan di Rh Jana di Matop, Julau, kira-kira 30 minit perjalanan dengan kereta dari lapangan terbang Sibu, pula adalah anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS). 

Selepas melakukan lawatan Gawai Dayak ke Sarawak, Najib dijadual melawat Sabah pada 9 dan 10 Jun. Beliau akan berkunjung ke Tambunan dan Keningau, kawasan kediaman masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM), yang juga kampung halaman presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. 

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Anggota Parlimen Keningau, adalah pemimpin tertinggi atau 'Huguan Siou' masyarakat Kadazandusun di Sabah. 

Pairin berkata pada 9 Jun, Najib akan berkunjung ke Keningau untuk menghadiri sambutan Kaamatan peringkat kebangsaan sebelum meneruskan perjalanan ke Tambunan keesokannya untuk merasmikan upacara pecah tanah pembinaan Kolej KDM. 

Tadau Kaamatan adalah pesta menuai yang disambut bagi menandakan berakhirnya musim menuai dan bermulanya musim baharu di Sabah. Sambutan ini menjadi sebahagian daripada budaya KDM dan ia sentiasa dinanti-nantikan rakyat sebagai cara untuk mengeratkan lagi hubungan, perpaduan dan keharmoniam sesama mereka. 

"Kami sungguh bangga apabila Keningau, yang terletak di pedalaman negeri ini, dipilih menjadi tuan rumah sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini. Ia suatu penghormatan besar terhadap penduduk di pedalaman," kata Pairin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama. 

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pula memberithu Bernama bahawa beberapa program telah disusun sempena lawatan Najib ke pedalaman Sabah, termasuk lawatan ke Rumah Besar OKK Sodomon di Bingkor, Keningau yang pernah menerima kunjungan bapanya Tun Abdul Razak Hussein. 

Rumah Besar, kediaman OKK Sedomon Gunsanad, pemimpin pribumi terkenal di kawasan pedalaman, pernah menjadi tempat penginapan Tun Razak pada 1962 ketika beliau berkunjung ke Keningau untuk memberi penjelasan tentang cadangan penubuhan Malaysia kepada ketua kaum pribumi di kawasan Keningau, Tambunan, Pensiangan, Nabawan, Sook, Ranau dan Tenom. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment