My Add

Sunday 27 May 2012

Pelbagai program menarik pada hari terakhir Himpunan Jutaan Belia

PUTRAJAYA, AHAD, 27 Mei, 2012: Pelbagai program menarik dianjurkan hari ini yang merupakan hari terakhir acara Himpunan Jutaan Belia 2012, yang berlangsung di sini sejak Rabu lalu. 

Antara program berkenaan ialah Pertandingan Memancing yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Pusat Rekreasi Air, Presint 13 dan 7th International Ekiden Run yang dirasmikan Anggota Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad di hadapan Istana Kehakiman, Presint 3.

Selain itu, Ahmad Shabery juga akan merasmikan pertandingan boling ARL Power Bawl di Alamanda Putrajaya, Presint 16, manakala pertandingan Aerokbikthon yang diadakan di tempat letak kereta Istana Kehakiman, Presint 3akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula akan merasmikan Food Valley/Putrajaya Uptown di tapak letak kereta, Persiaran Perdana manakala Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz merasmikan program Warna-Warni Malaysia di Persiaran Perdana, Presint 2. 

Majlis penutup dan penyampaian hadiah Rentap Futsal diadakan Kompleks Futsal 1Malaysia Presint 18, dan Karnival Sukan Extreme di Taman Cabaran Presint 20, masing-masing dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. 

Pada sebelah malam pula akan dimeriahkan dengan pertandingan Clash of The Band yang diadakan bersebelahan Bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. 

Sementara itu, gerai-gerai yang menjual pakaian, aksesori dan barangan elektronik di sekitar kawasan sambutan sejauh enam kilometer dijangka memberikan diskaun istimewa sempena hari terakhir program himpunan ini. 

Jumlah pengunjung juga dijangka bertambah, yang mengambil kesempatan sempena cuti hujung minggu dan cuti persekolahan untuk membawa keluarga masing-masing keluar beriadah di sini. 

Diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara, Himpunan Jutaan Belia tahun ini menampilkan 38 segmen, dan menyediakan kira-kira 500 aktiviti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment