My Add

Friday 25 May 2012

Lebih 100 peguam bantu peniaga tuntut ganti rugi dari Ambiga

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 25 Mei, 2012: Lebih 100 orang peguam sukarela menawarkan perkhidmatan mereka untuk membantu membuat tuntutan ganti rugi bagi para peniaga di sekitar Kuala Lumpur yang terjejas perniagaan mereka semasa perhimpunan Bersih 1,2 dan 3.

Anggota Peguam Sukarela (Sukaguam), Zahrin Ishak berkata pihaknya sedia membantu kos guaman secara percuma bagi menuntut kerugian para peniaga daripada Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga.

"Kami akan menyiasat terlebih dahulu tuntutan yang peniaga inginkan daripada penganjur perhimpunan sebelum memfail tuntutan itu di mahkamah.

"Peniaga-peniaga yang boleh membuat tuntutan ganti rugi ini bukan sahaja terhad di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, malahan di sekitar Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Zahrin berkata, Sukaguam terdiri daripada peguam-peguam yang bertindak secara sukarela tanpa sebarang bayaran untuk membantu peniaga membuat tuntutan ganti rugi mereka.

"Kami jalankan ia tanpa sebarang agenda tertentu tetapi tanggungjawab sosial kami untuk membantu peniaga menuntut kembali hak atau kerugian yang mereka alami.

Dalam sidang akhbar yang sama, Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, Datuk Jamal Md. Yunus berkata, untuk memudahkan peniaga membuat tuntutan mereka, sebuah sekretariat ditubuhkan di Restoran Ikan Bakar Sekinchan cawangan Gombak.

"Sekretariat ini dibuka setiap hari bermula Isnin depan, para peniaga boleh memfail tuntutan kerugian mereka dengan berjumpa terus peguam-peguam sukarela terlibat dari pukul 10 pagi hingga 4 petang," katanya.

Pada 15 Mei lalu, kerajaan Malaysia memfail saman terhadap Pengerusi bersama Bersih Datuk S. Ambiga dan sembilan yang lain untuk menuntut ganti rugi khas RM122,000 atas dakwaan gagal mengawal perhimpunan haram pada 28 April. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment